GUWAHATI, 1 Jun- Sekurang-kurangnya 30 maut dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di timur laut India susulan hujan lebat monsun berterusan sejak dua hari lalu, menurut pegawai pada Ahad.
Pegawai pengurusan bencana negeri memaklumkan bahawa lapan kematian dilaporkan di negeri Assam manakala sembilan lagi di Arunachal Pradesh, kebanyakannya akibat tanah runtuh.
"Lima lagi mangsa turut direkodkan terkorban di Mizoram dalam satu kejadian tanah runtuh manakala di Meghalaya, enam kematian direkodkan dan sekurang-kurangnya dua lagi maut di Nagaland dan Tripura," menurut pihak berkuasa tempatan.
Amaran merah telah dikeluarkan bagi beberapa daerah di rantau tersebut susulan hujan berterusan selama tiga hari berturut-turut.
Sungai-sungai utama termasuk Sungai Brahmaputra, yang berpunca dari Himalaya dan mengalir merentasi timur laut India menuju ke delta di Bangladesh, melimpah dan memecahkan tebing di beberapa kawasan.
Tentera India memaklumkan bahawa ratusan orang telah diselamatkan dalam operasi menyelamat besar-besaran di seluruh negeri Manipur.
"Penduduk telah dipindahkan ke kawasan lebih selamat. Bekalan makanan, air dan ubat-ubatan penting turut disalurkan," kata kenyataan tentera pada Sabtu.
Ketua Menteri Meghalaya, Conrad K Sangma, telah mengarahkan semua pegawai untuk bersiap siaga terutamanya di kawasan cerun tinggi dan rendah yang mudah dinaiki air.
India, negara berpopulasi 1.4 bilion, saban tahun mencatatkan kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh sepanjang musim hujan monsun.- AFP