fb fb fb fb fb

Syria sasar pemulihan industri farmaseutikal, manfaat pelonggaran sekatan AS dan EU

Foto Reuters

DAMASCUS, 1 Jun- Syria berharap dapat memulihkan industri farmaseutikalnya selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) melonggarkan sekatan ekonomi ke atas negara itu.

Naib Pengerusi Lembaga Unipharma Pharmaceutical Industries, Issam Maatouq, berkata rundingan dengan firma farmaseutikal asing telah digerakkan semula untuk mengaktifkan pengeluaran di Damascus dan membolehkan import ubat-ubatan ke Syria.

"Semasa sekatan dikenakan, kami kekurangan bahan mentah penting untuk menghasilkan ubat-ubatan tertentu. Kilang juga menghadapi kesukaran mendapatkan alat ganti dan penyelenggaraan peralatan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Syria, ubat-ubatan kanser yang tersedia secara tempatan hanya memenuhi 20 peratus daripada permintaan, menyebabkan ramai pesakit berdepan kesukaran kewangan untuk mendapatkan rawatan kemoterapi.

Pegawai kementerian kesihatan, Zuhair al-Qarrat berkata pelonggaran sekatan akan meningkatkan daya saing industri farmaseutikal Syria.

"Sebelum 2011, Syria merupakan antara negara terkemuka dalam pembuatan farmaseutikal. Kami yakin pelonggaran sekatan ini akan membantu memulihkan industri kami," katanya kepada media di Damascus, pada Sabtu.

23 Mei lepas, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pembatalan sebahagian besar sekatan ke atas kerajaan bekas Presiden Bashar al-Assad, yang dikenakan sejak 2011 susulan perang saudara.

EU turut membatalkan sekatan ekonomi pada 28 Mei bagi menyokong peralihan dan pemulihan Syria selepas kejatuhan Assad.

Menurut penganalisis, walaupun pelonggaran sekatan membuka peluang untuk pelaburan asing dan perdagangan, sekatan yang masih berkuat kuasa, termasuk larangan akses kepada sistem perbankan antarabangsa, mungkin terus menghalang pelaburan sektor swasta.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM