fb fb fb fb fb

Angka korban runtuhan kuari batu kapur di Indonesia meningkat kepada 18 orang

Foto Reuters

BANDUNG, 1 Jun- Tragedi runtuhan batu di sebuah kuari batu kapur di Pulau Jawa, Indonesia meragut kira-kira 18 orang, setakat ini.

Menurut seorang pegawai tentera pada Ahad, tujuh lagi mangsa dilapor masih hilang dan dikhuatiri maut.

Kejadian berlaku pada pagi Jumaat di sebuah tapak perlombongan di bandar Cirebon, Wilayah Jawa Barat, apabila bongkah batu besar tiba-tiba runtuh, menghempap para pekerja serta jentera berat di lokasi.

Sekurang-kurangnya 12 orang turut dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

"Hari ini, kami menemukan satu lagi mayat, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 18 orang, sementara tujuh mangsa lagi masih belum ditemukan.

Kami mengesyaki kesemua mangsa yang hilang telah pun meninggal dunia," kata Ketua Tentera Darat Tempatan, Mukhammad Yusron kepada AFP.

Pasukan penyelamat menggunakan jentolak dan anjing pengesan dalam usaha mencari mangsa yang masih tertimbus.

Namun, operasi berdepan cabaran berikutan struktur batuan yang tidak stabil.

"Kami perlu memberi perhatian kepada keselamatan anggota penyelamat kerana terdapat lagi runtuhan susulan sepanjang operasi berlangsung," jelasnya.

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi berkata syarikat tempatan yang mengendalikan kuari tersebut beroperasi secara sah, namun didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan.

Beliau telah mengarahkan penutupan serta-merta operasi syarikat terbabit.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya di tapak kejadian. Syarikat itu ditutup secara kekal," katanya dalam kenyataan.

Insiden pada Jumaat itu merupakan kejadian runtuhan kedua di lokasi sama, selepas kejadian pertama pada Februari lalu yang tidak melibatkan sebarang kematian.

Pada Julai tahun lalu, sekurang-kurangnya 23 orang maut manakala 35 lagi hilang selepas tanah runtuh melanda sebuah kampung terpencil berhampiran lombong emas haram di Pulau Sulawesi.

Pada 2023, lapan pelombong turut maut akibat terperangkap dalam lombong emas haram di Jawa Tengah.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM