GAZA, 1 Jun- 31 orang dilapor terbunuh dalam serangan Israel berhampiran lokasi agihan bantuan di Rafah, selatan Gaza, yang dikendalikan oleh pertubuhan berpusat di Amerika Syarikat (AS), Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Ahad, penduduk dan ahli keluarga di Khan Younis membawa pulang dan mengebumikan jenazah puluhan rakyat Palestin yang terkorban.
Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, pasukan perubatan mereka menemukan 23 mayat dan merawat 23 lagi mangsa yang cedera di kawasan pengumpulan bantuan tersebut.
Bagaimanapun, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata mereka sedang menyiasat laporan mengenai tembakan ke arah orang awam di kawasan agihan bantuan itu, namun menafikan mengetahui sebarang kecederaan berpunca daripada tindakan tentera.
GHF pula menafikan wujudnya kematian atau kecederaan berhampiran tapak operasi mereka di Rafah dan menyatakan semua pengagihan bantuan dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden.
Syarikat itu malah menuduh Hamas mereka-reka laporan palsu berhubung kejadian tersebut.
Namun begitu, penduduk dan petugas perubatan tempatan mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan dari darat ke arah kren yang terletak berhampiran kawasan berkenaan, diikuti tembakan kereta kebal ke arah orang ramai yang sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan bantuan.
Rakaman agensi Reuters menunjukkan beberapa ambulans membawa mangsa cedera ke Hospital Nasser.
"Dia keluar untuk cari makanan buat anak-anaknya. Dia ada lapan orang anak, termasuk isteri dan dirinya sendiri menjadikan mereka sepuluh orang. Ini tidak adil," kata Arafat Siyam, menceritakan tentang abangnya yang terkorban dalam serangan tersebut.
Insiden terbaharu itu menyukarkan usaha penghantaran bantuan kemanusiaan, meskipun Israel telah melonggarkan sekatan sejak bulan lalu.- REUTERS