fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel gegar kawasan kediaman di Gaza City, puluhan cedera

Foto Reuters

GAZA CITY, 1 Jun- Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kawasan kediaman di Gaza City pada Ahad, menyebabkan letupan besar serta debu dan asap tebal memenuhi ruang udara, menurut saksi tempatan.

Puluhan rakyat Palestin dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa yang cedera.

Namun, jumlah kematian dan kecederaan sebenar belum dapat dipastikan, setakat ini.

Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas serangan lain berhampiran pusat pengagihan bantuan di Rafah, selatan Gaza, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 mangsa.

Ketegangan semakin meningkat ketika usaha damai antara Hamas dan Israel terus menemui jalan buntu, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan atas kegagalan mencapai gencatan senjata.

Hamas dalam kenyataan pada Sabtu menyatakan bahawa pihaknya meminta pindaan terhadap cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat, namun utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, menolak maklum balas itu sebagai "langsung tidak boleh diterima".

Dalam cadangan terbaharunya, Hamas bersetuju untuk membebaskan 10 tebusan yang masih hidup serta menyerahkan 18 mayat tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di penjara Israel.

Bagaimanapun, kumpulan itu tetap bertegas mahu perang ditamatkan sepenuhnya dan tentera Israel berundur dari Gaza, syarat yang ditolak mentah-mentah oleh Israel.

Konflik yang berlarutan sejak berbulan-bulan lalu telah meragut ribuan nyawa dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza, dengan agihan bantuan terus terjejas akibat ketidakstabilan keselamatan di kawasan tersebut.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM