fb fb fb fb fb

Dasar bebas visa China, tarik pelancong Amerika Latin

Foto Reuters

SHENZHEN, 1 Jun- China mula melaksanakan dasar bebas visa secara unilateral kepada pemegang pasport biasa dari Brazil, Argentina, Chile, Peru dan Uruguay hari ini.

Usaha itu sekali gus menarik kemasukan pelancong dari rantau Amerika Latin ke negara itu.

Dasar baharu itu berkuat kuasa dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, sebagai sebahagian daripada usaha Beijing untuk menggalakkan pertukaran rakyat antara negara dan merapatkan hubungan dua hala.

"Saya rasa ini peluang yang sangat baik untuk rakyat Amerika Selatan. China dan Amerika Selatan mempunyai hubungan yang kukuh dan dasar ini boleh membantu memajukan kedua-dua negara," kata seorang pelancong dari Peru yang tiba di Stesen West Kowloon, Hong Kong, terminal utama Laluan Kereta Api Laju Guangzhou-Shenzhen-Hong Kong yang menghubungkan tanah besar China.

"Saya rasa ini sesuatu yang hebat kerana kami boleh berulang-alik dengan lebih mudah. Ia membina kerjasama yang lebih erat antara negara," kata pelawat dari Argentina, yang menyambut baik langkah itu.

"Saya tak perlu mohon visa. Memang gembira sangat. Mungkin saya akan datang semula lebih awal," tambah seorang lagi pelancong dari Brazil.

Stesen West Kowloon kini menjadi hab penting yang membolehkan penumpang menjalani pemeriksaan imigresen Hong Kong dan tanah besar China, dalam satu lokasi dengan pantas.

Menurut statistik Imigresen China, seramai 550,000 pelawat asing telah menyeberang masuk ke tanah besar melalui stesen itu sehingga 31 Mei tahun ini, peningkatan 33 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 115,000 lawatan dibuat di bawah dasar bebas visa, mencatatkan peningkatan 1.2 kali ganda tahun ke tahun.

Sebilangan besar pelawat tersebut datang atas urusan pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga, dengan Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia muncul sebagai tiga negara tertinggi mendapat manfaat dasar itu.

Sempena Perayaan Perahu Naga selama tiga hari, dari Sabtu hingga Isnin ini, pihak berkuasa menjangkakan kira-kira 10,000 kemasukan pelancong asing di Stesen West Kowloon.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM