fb fb fb fb fb

Tiga anggota separa tentera Pakistan maut dalam serangan bom bunuh diri

Tiga anggota separa tentera Pakistan maut dalam serangan bom bunuh diri di Peshawar /Foto REUTERS

Peshawar, 24 November - Serangan bom bunuh diri mengorbankan tiga anggota separa tentera Pakistan di ibu pejabat pasukan tersebut di Peshawar.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya lima yang lain cedera.

Tiga penyerang melepaskan tembakan ketika menceroboh ibu pejabat Pasukan Barisan Hadapan sebelum meletupkan diri di dalam kompleks tersebut.

"Tiga anggota separa tentera terbunuh, kata Timbalan Komandan pasukan itu, Javed Iqbal.

“Pengebom bunuh diri pertama melancarkan serangan di pintu masuk utama pasukan itu sebelum dua yang lain memasuki kawasan kompleks,” kata seorang pegawai kanan kepada Reuters.

“Anggota penguat kuasa undang-undang, termasuk tentera dan polis, telah mengepung kawasan itu dan menangani situasi dengan berhati-hati kerana kami mengesyaki terdapat beberapa pengganas di dalam ibu pejabat,” tambah beliau.

Ibu pejabat pasukan tersebut terletak di kawasan padat penduduk di Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Jalan telah ditutup kepada lalu lintas dan dikepung oleh tentera, polis dan anggota keselamatan,” kata Safdar Khan, seorang penduduk setempat kepada Reuters.

Sementara itu, jurucakap Hospital Lady Reading, Mohammad Asim memaklumkan, lima mangsa yang cedera, termasuk dua anggota separa tentera telah dibawa ke hospital.

Setakat ini, tiada kumpulan militan mengaku mendalangi serangan tersebut.

Kumpulan militan yang beroperasi di rantau itu telah meningkatkan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan pertempuran berdarah di sempadan antara Pakistan dengan Afghanistan, bulan lalu.

Pakistan menuduh Taliban melindungi militan yang didakwa melancarkan serangan rentas sempadan, namun dinafikan oleh Kabul. - REUTERS

EMMI NORALIZA ADNAN