GAZA, 22 Mei – Hospital-hospital di Gaza kini berdepan situasi genting apabila kekurangan kritikal bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan memaksa banyak kemudahan kesihatan di wilayah itu mengurangkan atau menghentikan operasi sepenuhnya.
Keadaan tersebut sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia parah, tatkala konflik yang berterusan menekan sistem kesihatan ke tahap paling mencabar.
Menurut Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Selmya, lebih 80 peratus ubat-ubatan untuk unit rawatan rapi dan jabatan pembedahan kini kehabisan stok, manakala lebih 60 peratus bekalan perubatan lain turut tidak mencukupi.
“Pesakit kegagalan buah pinggang kini terjejas teruk selepas Hospital Indonesia tidak lagi beroperasi. Malangnya, tiada kemudahan alternatif disediakan bagi mereka,” katanya.
Seorang petugas paramedik, Youssef Al-Hindi, berkata kakitangan kesihatan kini terpaksa berkhidmat dalam keadaan yang amat berbahaya, dengan kemudahan yang sangat terhad dan tanpa sebarang perlindungan.
“Kami bekerja dalam keadaan yang mengancam nyawa dan di bawah serangan berterusan. Ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa, namun tentera Israel terus bertindak tanpa dikenakan sebarang hukuman,” katanya.
Tambahnya, kekurangan peralatan perubatan adalah amat serius dan pasukan perubatan kini hanya bergantung kepada sumber minimum untuk terus beroperasi.
Keadaan dalam hospital-hospital di Gaza turut disifatkan amat sesak, dengan katil pesakit yang padat, kekurangan ubat-ubatan dan makanan.
Seorang pesakit yang cedera, Awad Abu Riya berkata beliau hanya menerima ubat untuk satu hari bagi membolehkan pesakit lain turut mendapat rawatan.
“Balutan luka saya hanya ditukar sekali, walhal sepatutnya dua kali. Saya juga lapar, tetapi tiada siapa yang membawa makanan,” katanya.
Sementara itu, agensi-agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut melaporkan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing sejak penutupan sempadan Gaza selama lebih dua bulan yang bermula pada 2 Mac lalu, menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan penting.-REUTERS