fb fb fb fb fb

PM Singapura umum barisan kabinet, angkat sumpah 23 Mei

Foto Reuters

SINGAPURA, 21 Mei - Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Rabu mengumumkan barisan Kabinet baharu, hanya dua minggu selepas mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum 3 Mei lepas.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa upacara angkat sumpah Kabinet akan diadakan pada Jumaat (23 Mei).

Wong akan mengekalkan portfolio beliau sebagai Menteri Kewangan, manakala tiada pelantikan Timbalan Perdana Menteri kedua bagi menggantikan Heng Swee Keat yang bersara.

Dalam sidang media, Wong mengumumkan bahawa beliau akan melantik empat menteri utama Kabinet untuk membantunya -- Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan tiga Menteri Penyelaras yang baharu: K. Shanmugam, Chan Chun Sing dan Ong Ye Kung.

Mereka akan menyelia empat bidang penting iaitu ekonomi, keselamatan negara, perkhidmatan awam dan dasar sosial.

Wong berkata Gan, yang kekal sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan akan terus menyelaras usaha Singapura dalam bidang ekonomi termasuk peranannya sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT).

Gan turut akan memikul tugas tambahan termasuk menyelia usaha negara berkaitan perubahan iklim dan isu penduduk.

K. Shanmugam akan dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara. Beliau akan kekal memegang portfolio Menteri Ehwal Dalam Negeri tetapi melepaskan jawatan Menteri Undang-undang yang akan diambil alih oleh Edwin Tong.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung akan mengekalkan portfolio sedia ada dan turut dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Chan Chun Sing pula akan dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan, menggantikan Dr Ng Eng Hen yang bersara.

Desmond Lee akan melepaskan portfolio beliau sebagai Menteri Pembangunan Negara dan mengambil alih jawatan Chan sebagai Menteri Pendidikan.

Chee Hong Tat pula akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan menggantikan Lee sebagai Menteri Pembangunan Negara.

Masagos Zulkifli akan kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga namun tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Wong turut mengumumkan bahawa Profesor Madya Faishal Ibrahim akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Zaqy Mohamad, yang kini Timbalan Pengerusi MENDAKI, akan mengambil alih peranan Masagos sebagai Pengerusi MENDAKI.

MENDAKI atau Majlis Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam Singapura yang ditubuhkan pada 1982 ialah sebuah kumpulan bantuan kendiri yang berperanan meningkatkan pencapaian pendidikan masyarakat Melayu/Islam di negara itu menerusi pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Faishal dan Zaqy, bersama pemimpin dan Ahli Parlimen Melayu/Islam lain, akan terus mendekati masyarakat Melayu/Islam -- membina di atas asas kukuh sedia ada dan bekerjasama dengan komuniti untuk mencapai matlamat bersama,” kata Wong.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau menjangka akan membuat pelarasan lanjut terhadap Kabinet dalam tempoh setahun atau dua, apabila lebih ramai pemimpin muda bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar.

“Saya telah melakukan yang terbaik untuk membentuk kerajaan yang berkesan bagi membawa Singapura ke hadapan dalam suasana yang tidak menentu dan mencabar ini. Saya mohon sokongan penuh rakyat Singapura kepada saya dan barisan pentadbiran ini,” katanya.

Wong turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin yang bersara termasuk Heng Swee Keat, Dr Ng Eng Hen, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Maliki Osman, Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan Heng Chee How dan Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Dr Amy Khor.

“Mereka semua adalah anggota penting pasukan ini. Saya sekali lagi ucapkan terima kasih atas khidmat dan sumbangan mereka selama ini,” katanya.- BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN