fb fb fb fb fb

Tiada bantuan disalurkan di Gaza akibat laluan tidak selamat - PBB

Foto Reuters

NEW YORK, 22 Mei - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan tiada sebarang bantuan kemanusiaan berjaya diagihkan di Gaza sejak Israel menarik balik sekatan 11 minggu lalu dan membenarkan kemasukan terhad bantuan ke wilayah itu.

Meskipun kira-kira 100 buah trak membawa bantuan telah dibenarkan masuk melalui lintasan Kerem Shalom, bantuan tersebut masih belum dapat dipindahkan dari kawasan pemunggahan ke destinasi dalam Gaza kerana laluan tidak selamat.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata pasukan PBB di Gaza tidak dapat mengangkut bantuan kerana laluan yang disediakan terlalu sesak dan berisiko tinggi.

“Israel telah memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang aktiviti ketenteraan sepanjang laluan berkenaan, namun rakan-rakan kami di lapangan menilai bahawa keadaan terlalu berbahaya untuk meneruskan pengangkutan bantuan. Kami juga bimbang berlakunya rompakan selepas tempoh kekurangan yang panjang di Gaza,” katanya dalam sidang media di New York.

PBB kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa Israel untuk menilai laluan alternatif yang lebih selamat. Rundingan turut dijalankan dengan pemimpin komuniti Gaza bagi melancarkan proses pengagihan.

Antara bantuan yang telah dihantar termasuk makanan bayi, tepung, ubat-ubatan dan bekalan nutrisi. Namun, Israel masih tidak membenarkan produk kebersihan diri dan bahan api dibawa masuk ke wilayah berkenaan.

“Kemasukan bantuan yang terhad ini langsung tidak mencukupi untuk menampung keperluan mendesak penduduk Gaza. Keperluan mereka sangat besar, dan jauh lebih banyak bantuan perlu segera disalurkan,” ujar Dujarric.

Israel sebelum ini menyatakan sekatan selama 11 minggu bertujuan menghalang Hamas daripada menyalahgunakan bekalan bantuan. Bagaimanapun, Hamas menafikan sebarang penyelewengan berlaku.

Buat masa ini, bantuan hanya dibenarkan masuk secara terhad sehingga satu model baharu pengagihan bantuan, Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat mula beroperasi sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.

PBB bagaimanapun menyatakan tidak akan terlibat dengan model baharu itu kerana ia dianggap tidak bersifat neutral atau berkecuali.

Yayasan Kemanusiaan Gaza dijangka bekerjasama dengan firma keselamatan dan logistik swasta Amerika Syarikat bagi mengangkut bantuan ke hab selamat yang ditetapkan Israel, sebelum diagihkan oleh pertubuhan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN