BAITULMAQDIS, 22 Mei – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu menyatakan operasi ketenteraan di Gaza akan diteruskan sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya dan wilayah Palestin itu diletakkan di bawah kawalan ketenteraan Israel.
Dalam satu sidang media selama sejam di Baitulmaqdis, Netanyahu turut mengemukakan beberapa syarat utama bagi menamatkan perang, termasuk pelaksanaan cadangan penempatan semula yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau juga mendakwa Israel berkemungkinan telah membunuh pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar, dalam satu serangan udara yang menyasarkan sebuah hospital di selatan Gaza awal Mei lalu.
Netanyahu menyatakan sebarang gencatan senjata hanya akan dipertimbangkan jika ia melibatkan pembebasan baki tebusan yang masih berada dalam tahanan Hamas sejak serangan 7 Oktober tahun lalu.
“Daripada 58 tebusan, 20 orang disahkan masih hidup. Kami akan menggunakan tekanan ketenteraan, saluran politik serta kebijaksanaan bagi membawa mereka pulang,” katanya.
Dalam pada itu, Netanyahu turut mengecam tindakan United Kingdom yang mengkritik cara Israel mengendalikan perang di Gaza serta keputusan negara itu untuk menggantung rundingan perdagangan.
Beliau menyifatkan sebarang usaha mengiktiraf negara Palestin sebagai "ganjaran kepada keganasan".
Kenyataan tersebut hadir ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel agar menghentikan konflik bersenjata yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza.-REUTERS