FOTO AFP
MOSCOW, 4 Februari- Rusia tidak merancang untuk mengadakan sabarang sekatan pergerakan terbaharu untuk mengekang penularan COVID-19, biarpun kini sedang menghadapi lonjakan kes varian Omicron.
Presidennya, Vladimir Putin seolah memberi jaminan, tidak akan mengadakan perintah pergerakan atau perintah berkurung, disebalik peningkatan kes wabak yang melanda negara itu.
"Tiada penutupan dirancang," kata Putin pada pertemuan dengan ahli perniagaan Rusia yang disiarkan di televisyen, sambil menambah bahawa Rusia akan melonggarkan beberapa sekatan.
"Dalam masa terdekat, sekatan ke atas kontak rapat boleh ditarik balik, supaya orang ramai boleh bekerja dengan aman," kata Putin.
Di bawah peraturan semasa Rusia, sesiapa yang mempunyai hubungan dengan orang yang positif COVID-19 perlu mengasingkan diri selama tujuh hari.
Komen Putin dibuat ketika Rusia pada Khamis merekodkan 155,768 jangkitan terbaharu.
Bilangan kes di seluruh negara meningkat dengan mendadak, dengan Omicron menjadi penyumbang sebahagian besar kes.
Walaupun penjarakan sosial telah menjadi longgar di banyak tempat di Moscow, pemimpin Rusia itu sendiri dilihat amat berhati-hati dengan COVID-19.
Ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban di Moscow minggu ini, pasangan itu minum champagne berdiri bertentangan di hujung permaidani besar di Kremlin.
Berikutan sekatan yang ketat tetapi singkat pada permulaan pandemik, Rusia telah menahan sekatan, sebaliknya berharap untuk melindungi ekonominya.
Tetapi dengan empat vaksin tersedia secara meluas selama berbulan-bulan, rakyat Rusia tetap enggan menerima suntikan dengan hanya separuh daripada populasi yang diberi vaksin sepenuhnya.
Kerajaan Rusia melaporkan 333,357 kematian akibat Covid-19 sejak permulaan wabak itu, angka kematian tertinggi di Eropah.
Bagaimanapun, angka tersebut dicanggah oleh agensi statistik Rosstat, yang mengira kematian COVID-19 di bawah definisi yang lebih luas dan mengatakan jumlah kematian keseluruhan hampir dua kali ganda jumlah rasmi.
Bulan lalu, Rosstat berkata penduduk Rusia berkurang lebih sejuta orang tahun lalu, penurunan bersejarah yang tidak pernah dilihat sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.- AFP