fb fb fb fb fb

Tiada kerosakan lanjut di loji nuklear Iran selepas serangan Israel - IAEA

Rafael Grossi / Foto Reuters

VIENNA, 16 Jun - Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi memaklumkan tiada kerosakan tambahan dikesan di tapak-tapak pengayaan uranium milik Iran susulan serangan ketenteraan oleh Israel baru-baru ini.

Dalam kenyataan kepada mesyuarat khas Lembaga Gabenor IAEA yang dianggotai 35 negara, Grossi berkata hasil pemerhatian terkini mendapati kemudahan utama di Natanz dan Fordow tidak mengalami kerosakan lanjut sejak serangan yang berlaku pada Jumaat lalu.

“Tiada kerosakan tambahan dikesan di tapak Loji Pengayaan Bahan Api Natanz sejak serangan pada Jumaat lalu yang memusnahkan bahagian atas tanah Loji Perintis Pengayaan Bahan Api,” jelas beliau.

Sebelum ini, IAEA melaporkan, loji perintis di kompleks Natanz, salah satu daripada tiga loji pengayaan utama Iran telah musnah akibat serangan.

Loji tersebut terletak di atas tanah dan merupakan yang terkecil berbanding dua lagi kemudahan.

Bagi loji pengayaan bawah tanah Natanz, tiada kesan serangan fizikal dikesan, namun bekalan kuasa ke loji tersebut telah dimusnahkan, yang mungkin menyebabkan kerosakan kepada sentrifug uranium di dalamnya.

Manakala di Fordow pula, yang terletak di dalam kawasan pergunungan, tiada kerosakan dilaporkan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN