fb fb fb fb fb

Thaksin pulang ke Thailand, Selasa ini

(Thaksin bersama anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra/FB Ing Shinawatra)

BANGKOK, 19 Ogos- Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra merancang untuk kembali ke tanah air pada Selasa, hari yang sama parlimen akan mengundi calon Perdana Menteri bagi menamatkan krisis politik yang berpanjangan selepas pilihan raya nasional pada Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak perempuannya yang juga calon Perdana Menteri dari parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra menerusi media sosial.

"Pada hari Selasa, 22 Ogos, pukul 0900, di Lapangan Terbang Don Muang, saya akan bertemu bapa Thaksin," kata Paetongtarn mengenai berita kepulangan bapanya.

Thaksin sebelum ini merancang untuk pulang pada 10 Ogos, namun ditangguhkan dengan alasan perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan.


(Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra/REUTERS)

Bekas taikun telekomunikasi itu, merupakan Perdana Menteri Thailand pada tahun 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.

Sejak itu, beliau hidup dalam buangan selepas melarikan diri dari Thailand bagi mengelakkan hukuman penjara kerana kes rasuah pada tahun 2008. Bagaimanapun, beliau masih akan dikenakan penjara apabila kembali.

Parti Pheu Thai kini sedang berusaha untuk membentuk kerajaan di Thailand, selepas pemimpin parti Move Forward yang memenangi pilihan raya pada Mei lalu, gagal dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri.

Pheu Thai, yang bakal mencalonkan hartawan hartanah Srettha Thavisin, memerlukan sokongan lebih separuh wakil rakyat, termasuk Dewan Negara.-REUTERS

Media Baharu