fb fb fb fb fb

Thailand tutup sempadan dengan Kemboja, hubungan dingin

Askar Kemboja berkumpul semasa lawatan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di pangkalan tentera, berikutan pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja/ Foto fail/AFP

BANGKOK, 24 Jun- Tentera Thailand menutup semua pintu sempadan ke Kemboja kepada semua pengembara termasuk pelancong dan peniaga, selepas ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu terus memuncak.

Menerusi satu kenyataan, tentera Thailand memaklumkan bahawa semua kenderaan, pelancong dan peniaga dilarang melintasi sempadan di tujuh wilayah yang bersempadan dengan Kemboja atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian diberikan atas alasan kemanusiaan seperti rawatan perubatan, pelajar serta kes-kes mendesak lain yang akan dipertimbangkan oleh pihak keselamatan di setiap pos kawalan.

“Sekatan ini bersesuaian dengan situasi keselamatan semasa, khususnya dalam menangani konflik yang kian meningkat di kawasan sempadan Thailand-Kemboja dari sudut politik, diplomatik dan ketenteraan,” menurut kenyataan itu.

Langkah itu turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memerangi pusat penipuan siber di Kemboja, yang menjadi perhatian Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, pada Isnin.

Paetongtarn berkata Thailand akan menghentikan bekalan keperluan asas seperti elektrik ke kawasan yang dikenal pasti menjalankan aktiviti jenayah rentas sempadan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Thailand itu turut berdepan kecaman dalam mengendalikan pertikaian sempadan, selepas tersebarnya rakaman panggilan telefon antara beliau dan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang didakwa memperlekeh seorang pegawai kanan tentera Thailand.

Hubungan kedua-dua negara merosot selepas tercetusnya pertempuran bersenjata di kawasan sempadan hujung bulan lalu, yang mengakibatkan seorang askar Kemboja terbunuh. Kedua-dua negara saling mengenakan tindakan balas termasuk penggantungan import minyak dan gas dari Thailand. -REUTERS

ROSLINA BINTI DIN