fb fb fb fb fb

Tentera Israel bunuh 21 orang ketika menunggu bantuan

Foto AFP

GAZA, 24 Jun - 21 orang maut ketika sedang menunggu bantuan berhampiran tapak pengedaran di tengah wilayah Palestin.

Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan tentera zionis menyasarkan pencari bantuan di lokasi terbabit menerusi serangan terbaharu tentera Israel pada awal pagi Selasa.

"Kira-kira 150 cedera akibat tentera pendudukan Israel menyasarkan kumpulan rakyat yang menunggu bantuan di tengah Semenanjung Gaza dengan peluru dan kereta kebal," kata jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal.

Bassal berkata lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Bandar Gaza pada waktu subuh.

Beribu-ribu rakyat Palestin telah berkumpul setiap hari dengan harapan menerima catuan makanan di Gaza, ketika kebuluran melanda seluruh wilayah selepas lebih 20 bulan perang.

Menurut angka yang dikeluarkan pada Sabtu oleh Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 450 orang terbunuh dan hampir 3,500 cedera akibat tembakan Israel ketika mendapatkan bantuan sejak akhir bulan lepas.

Kebanyakan daripada mereka berada berhampiran tapak yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza," menurut penyelamat.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang Israel pada hari Selasa menggesa perang di Gaza dihentikan, selepas Israel mengumumkan telah bersetuju gencatan senjata dengan Iran.

NORAINI BINTI WAHIB