fb fb fb fb fb

Thailand tegas pertahan kedaulatan, usaha diplomasi dengan Kemboja diteruskan

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra/Reuters

BANGKOK, 6 Jun- Thailand menegaskan bahawa angkatan tentera negara itu sentiasa komited dan bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Kenyataan itu disuarakan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Jumaat, berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja yang kembali memuncak hingga mencetuskan pertempuran maut, minggu lalu.

Bagaimanapun, Paetongtarn dan Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Songwit Noonpackdee sentiasa berbincang secara rapat dan menyokong pendekatan kerajaan untuk menyelesaikan pertikaian secara damai.

Khamis lalu, tentera Thailand menyatakan kesiapsiagaan untuk melancarkan "operasi tahap tinggi" bagi menangani sebarang pelanggaran terhadap kedaulatan negara itu.

Tentera turut memaklumkan risikan mereka menunjukkan peningkatan kesiapsiagaan tentera Kemboja di kawasan sempadan, meskipun usaha diplomatik sedang dijalankan.

Thailand dan Kemboja sebelum ini bertukar kenyataan secara berhati-hati sejak beberapa hari lalu, masing-masing komited kepada rundingan selepas insiden pertempuran singkat di kawasan sempadan, 28 Mei lalu.

Ketegangan itu telah menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM