BANGKOK, 17 Jun - Thailand telah mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia menghantar pesawat bagi memindahkan rakyatnya dari Israel dan Iran susulan serangan peluru berpandu antara kedua-dua negara tersebut yang berlarutan sehingga lima hari, menurut jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Houngsub pada Selasa.
Katanya, dianggarkan seramai 40,000 rakyat Thailand kini berada di Israel, kebanyakannya bekerja di ladang di bawah skim buruh kerajaan, dan sekitar 300 rakyat berada di Iran.
"Kami bersedia untuk memindahkan rakyat dan telah berkoordinasi dengan pihak tentera untuk menyediakan pesawat bagi membawa mereka pulang dari Israel dan Iran," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet.
Israel dan Iran telah menutup ruang udara masing-masing sejak konflik tercetus apabila Israel mula melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear di Iran pada Jumaat.
Jirayu berkata kedutaan Thailand di kedua-dua negara telah menyediakan pelan pemindahan untuk rakyat Thailand.
Kedutaan Thailand di Tehran mengumumkan di laman Facebook rasminya bahawa mereka telah menubuhkan pusat perlindungan sementara untuk rakyat Thailand di luar ibu negara.
Sementara itu, China memaklumkan bahawa sebilangan rakyatnya telah berjaya meninggalkan Iran.
"Buat masa ini, beberapa warga China telah dipindahkan dengan selamat ke negara jiran," kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, kepada pemberita di Beijing. - AFP