fb fb fb fb fb

Thailand, Kemboja setuju susun semula pasukan tentera redakan ketegangan di sempadan

Foto ARKIB

BANGKOK / PHNOM PENH, 9 Jun - Thailand dan Kemboja bersetuju menyusun semula kedudukan pasukan tentera bagi meredakan ketegangan susulan insiden pertempuran singkat yang berlaku di kawasan sempadan baru-baru ini, kata Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Ahad, lapor Xinhua.

Menerusi catatan di platform X, Paetongtarn memaklumkan bahawa perbincangannya dengan kerajaan Kemboja telah membuahkan hasil positif, dengan kedua-dua pihak bersetuju mengubah penempatan tentera di kawasan pertikaian bagi membantu meredakan ketegangan.

Thailand dan Kemboja juga akan mengadakan perbincangan di semua peringkat bagi memulihkan hubungan dua hala secepat mungkin, katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai mengesahkan bahawa pasukan tentera kedua-dua negara telah disusun semula mengikut kedudukan yang dipersetujui pada 2024.

Phumtham berkata penyelarasan berterusan di semua peringkat telah membantu meredakan ketegangan, dengan kedua-dua negara komited untuk mengurangkan konflik dan mengelakkan konfrontasi.

Sementara itu, Presiden Senat Kemboja Samdech Techo Hun Sen pada Ahad malam menyatakan bahawa pelarasan kedudukan tentera di kawasan berisiko konflik dengan Thailand amat penting bagi mengelakkan pertempuran berskala besar.

“Pelarasan kedudukan tentera di kawasan yang mudah tercetus konflik menerusi persefahaman bersama antara komander tentera kedua-dua negara adalah penting untuk mengelakkan pertembungan ganas berskala besar,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook.

“Rakyat Kemboja dan Thailand benar-benar mendambakan keamanan berkekalan dan tidak mahu melihat berlakunya peperangan,” katanya sambil menambah bahawa usaha penyelesaian melalui dialog telah dilaksanakan di semua peringkat - daripada kerajaan hingga ke barisan hadapan tentera - dan kini mula membuahkan hasil.

Pada 28 Mei lalu, askar Kemboja dan Thailand terlibat dalam kejadian tembak-menembak singkat di kawasan sempadan yang dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh. - BERNAMA-XINHUA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN