fb fb fb fb fb

Tentera Syria kekal di Damsyik, dakwaan pengunduran dinafikan

Sebuah trak dilihat menarik kepala patung bekas Presiden Syria, Hafez al-Assad, melalui jalan-jalan di bandar Hama yang kini dipercayai telah dikuasai kumpulan penentang kerajaan/AFP

BEIRUT, 7 Disember- Kumpulan penentang kerajaan di Syria mendakwa telah memulakan langkah mengepung ibu negara, Damsyik walaupun kerajaan menafikan laporan bahawa tenteranya berundur dari kawasan strategik berhampiran.

Komander kumpulan itu, Hassan Abdel Ghani menyatakan serangan berkenaan adalah sebahagian daripada fasa akhir mereka untuk mengepung Damsyik.

Namun, Kementerian Pertahanan Syria menegaskan bahawa pasukan mereka masih berada di semua kawasan pinggir bandar Damsyik dan tiada pengunduran berlaku.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) pula mendakwa tentera kerajaan telah kehilangan kawalan ke atas wilayah Daraa dan pos kawalan di Quneitra berhampiran Bukit Golan yang diduduki Israel.

Serangan udara dan bedilan oleh tentera kerajaan serta sekutunya, Rusia dilaporkan telah membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang di Homs.

Serangan itu juga disifatkan sebagai usaha memperlahankan kemaraan kumpulan penentang tersebut.

Sementara itu, Qatar dan beberapa negara lain menyeru kepada penyelesaian politik untuk mengelakkan konflik daripada terus merebak.

Sejak serangan pemberontak bermula minggu lalu, lebih 826 individu dilaporkan terbunuh, sementara Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan seramai 370,000 orang telah kehilangan tempat tinggal

Konflik berkenaan turut menyaksikan kumpulan terbabit menggulingkan simbol-simbol kerajaan seperti patung bekas Presiden Hafez al-Assad di bandar Hama.

Dalam pada itu, Hizbullah telah menghantar 2,000 pejuang ke kawasan Qusayr di sempadan Syria-Lubnan bagi mempertahankan kedudukan mereka di kawasan pergunungan, namun kumpulan itu belum terlibat dalam pertempuran secara langsung.

Sejak 2013, Hizbullah telah memberi sokongan ketenteraan kepada rejim Presiden Bashar al-Assad dan membantu merampas kembali bandar Qusayr daripada kumpulan penentang kerajaan terbabit. -AFP

SITI AISHAH MD ISA