fb fb fb fb fb

Tentera sekutu kerajaan Yaman dan Houthi setuju laksana gencatan senjata

SANAA, 3 April- Tentera sekutu kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi setuju melakukan gencatan senjata selama dua bulan.

Ia julung kali diadakan sejak 2006 bagi menghormati kedatangan bulan Ramadan semalam.

Keputusan tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berharap gencatan senjata itu dapat bertahan lama.

Wakil khas PBB, Hans Grundberg berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata selama dua bulan yang berkuat kuasa pada hari pertama Ramadan.

Gencatan senjata selama dua bulan bermula meliputi semua operasi tentera darat, udara dan tentera laut harus dihentikan selain kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bertemu dan membuka jalan di Taez dan bahagian lain.

"Gencatan senjata boleh diperbaharui dengan persetujuan kedua-dua pihak. Kejayaan inisiatif ini akan bergantung kepada komitmen berterusan pihak yang bertelagah untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata dengan langkah kemanusiaan yang disertakan.

"Saya juga berharap niat baik yang kita lihat dari semua pihak secara terbuka akan diterjemahkan kepada pengurangan jangka panjang retorik media yang menghasut dan ucapan kebencian," kata diplomat Sweden itu.


(Wakil khas PBB, Hans Grundberg/AFP)

Menurut PBB, peperangan di Yaman mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia berikutan pembunuhan ratusan ribu manusia secara langsung atau tidak langsung dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mengesahkan komitmen mereka untuk menghentikan operasi ketenteraan secara menyeluruh selagi pihak lain mematuhi perkara itu.

Gencatan senjata sebelum ini tidak berkesan apabila ia dilanggar menjelang rundingan damai pada April 2016, begitu juga gencatan senjata lain pada tahun itu.

Perjanjian 2018 untuk menghentikan permusuhan di sekitar Pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak sekali gus menyaksikan talian hayat bagi negara termiskin di dunia Arab itu, juga diabaikan.

Kedua-dua pihak, Houthi dan Arab Saudi turut mengalu-alukan inisiatif terbaru itu yang meningkatkan diplomasi termasuk rundingan yang sedang berjalan yang ditolak oleh pemberontak di Riyadh.

Di bawah perjanjian itu, semua operasi ketenteraan darat, udara dan laut di Yaman dan merentasi sempadannya akan dihentikan manakala 18 kapal minyak akan dibenarkan masuk ke Pelabuhan Hodeida dan dua penerbangan komersial seminggu boleh disambung semula masuk dan keluar dari Sanaa sebelum mempertimbangkan rundingan damai.- AFP

Media Baharu