fb fb fb fb fb

Tentera India berundur dari Maldives mulai Mac

Foto Reuters

MALE, 3 Februari - India akan mula mengundurkan tenteranya yang ditempatkan di Maldives bulan depan, kata kementerian luar Male selepas rundingan pada Jumaat.

New Delhi menganggap kepulauan Lautan Hindi yang terletak di lokasi strategik yang melintasi lorong perkapalan global utama berada dalam lingkungan pengaruhnya.

Namun, pengunduran tentera India itu dikatakan berkait dengan Presiden Baharu Maldives, Mohamed Muizzu yang menuntut tentera India beredar.

Kementerian Luar Negeri Male berkata New Delhi telah bersetuju pada rundingan di ibu negara India untuk mula menarik keluar 89 kakitangannya menjelang 10 Mac dan menyelesaikan proses itu dalam masa dua bulan.

Tentera dikerahkan untuk mengendalikan tiga pesawat peninjau maritim sumbangan India, dua helikopter, dan pesawat sayap tetap, yang juga telah digunakan untuk pemindahan perubatan dari pulau terpencil yang bertaburan kira-kira 800 kilometer (500 batu) merentasi khatulistiwa.

Kedua-dua pihak telah "menyemak semula" kerjasama mereka dengan tujuan untuk "meningkatkan" perkongsian mereka dalam pertahanan, keselamatan, dan bidang lain, kata kenyataan kementerian luar Maldives.

Namun kenyataan kerajaan India pada mesyuarat itu tidak merujuk secara eksplisit kepada sebarang penarikan diri.

Kedua-duanya telah "bersetuju mengenai satu set penyelesaian yang boleh dilaksanakan bersama untuk membolehkan operasi berterusan platform penerbangan India yang menyediakan perkhidmatan kemanusiaan dan perubatan kepada penduduk Maldives," kata kementerian luar New Delhi.

Sumber rasmi di Maldives berkata kemungkinan pesawat itu akan kekal di negara itu yang boleh dikendalikan oleh kakitangan awam India.

Dalam perkembangan lain, kementerian pertahanan Maldives menuduh pengawal pantai India memasuki zon ekonomi eksklusifnya dan mengganggu nelayan dengan menaiki tiga bot pukat tunda Maldives.

Kementerian pertahanan berkata ia meminta "penjelasan" dari New Delhi selepas anggota pengawal pantai menaiki tiga bot itu pada Rabu.

Insiden itu berlaku ketika selebriti India menggesa rakan senegaranya untuk memboikot negara pulau itu dan sebaliknya menempah percutian mereka yang seterusnya lebih dekat dengan negara sendiri.

Sektor pelancongan Maldives menyumbang hampir satu pertiga daripada ekonomi Maldives, dengan kaum India membentuk bahagian terbesar ketibaan pelancong asing.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN