fb fb fb fb fb

Geely lancar 11 satelit orbit rendah untuk kenderaan pintar

Foto Reuters

SHANGHAI, 3 Februari - Pengeluar kereta China Geely Holding Group berkata pada Sabtu ia telah melancarkan 11 satelit orbit bumi rendah penghantaran kedua dan akan mengembangkan kapasitinya untuk menyediakan lebih tepat navigasi bagi kereta pandu sendiri.

Satelit-satelit itu dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Xichang di wilayah barat daya Sichuan, kata Geely dalam satu kenyataan.

Geely berkata ia menjangkakan 72 satelit berada di orbit menjelang 2025.

Pelancaran pertama telah dijalankan pada Jun 2022.

Di samping menyediakan sokongan penentududukan berketepatan tinggi kepada kereta pandu sendiri, Geely berkata rangkaiannya juga akan menyediakan fungsi komersial lain seperti penyambungan kepada sektor elektronik pengguna.

Satelit itu mempunyai fungsi penderiaan jauh AI, menyediakan pengimejan penderiaan jauh beresolusi tinggi 1–5 meter (3.2-16.4 kaki) yang jelas, kata syarikat itu.

Rangkaian satelit China dikuasai oleh tenteranya, namun kerajaan mula membenarkan pelaburan swasta dalam industri angkasa lepas negara itu pada 2014.

Semenjak itu, syarikat komersil, sebahagiannya disokong oleh kerajaan tempatan, telah beralih ke sektor tersebut dengan majoriti menumpukan pada pembuatan satelit dan selebihnya cuba untuk membina kenderaan pelancar kecil, termasuk roket yang boleh digunakan semula.

Dalam pelan lima tahun terbaharunya untuk 2021–2025, Beijing telah membangunkan rangkaian satelit bersepadu untuk komunikasi, penderiaan jauh dan navigasi.

China mempunyai lebih daripada 400 satelit yang digunakan di angkasa lepas, termasuk satelit yang dimiliki secara komersial, menurut media kerajaan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN