fb fb fb fb fb

Tentera AS lari ke Korea Utara kerana penindasan, diskriminasi kaum

(Anggota tentera AS, Travis King/ REUTERS)

SEOUL, 16 Ogos - Korea Utara mendakwa bahawa tentera Amerika Syarikat, Travis King mahu berlindung di negara itu atau di negara lain kerana dianiaya, dilayan tanpa perikemanusiaan dan menjadi mangsa penindasan kaum dalam tentera AS.

Media kerajaan negara itu berkata dalam kenyataan umum pertama Pyongyang mengenai kemasukan King dari Korea Selatan pada 18 Julai.

King meluru ke Korea Utara semasa dalam lawatan bersama orang awam di Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) di sempadan yang menjadi berkubu kuat antara kedua-dua Korea.

Pegawai AS berkata mereka percaya King menyeberangi sempadan dengan sengaja, dan setakat ini menolak untuk mengklasifikasikannya sebagai tawanan perang.

Penyiasat Korea Utara juga telah membuat kesimpulan bahawa King menyeberang secara sengaja dan tidak sah, dengan niat untuk tinggal di Utara atau di negara ketiga, kata agensi berita KCNA.

"Semasa penyiasatan, Travis King mengaku bahawa dia telah memutuskan untuk datang ke DPRK kerana dia dianiaya dengan tidak berperikemanusiaan dan berlaku diskriminasi kaum dalam Tentera AS.

"Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk mencari perlindungan kerana dia kecewa dengan masyarakat Amerika yang tidak adil," kata agensi berita KCNA.


(Travis King (bertopi hitam) menyelinap menyertai pelancong ke Kawasan Keselamatan
Bersama (JSA) di sempadan 
Korea Utara dan Korea Selatan di perkampungan keamanan
Panmunjom, Korea Selatan/ REUTERS)

King, menyertai tentera AS pada Januari 2021, adalah Anggota Berkuda dengan Pasukan Bergilir Korea, yang menjadi sebahagian daripada komitmen keselamatan AS untuk Korea Selatan.

Bagaimanapun, penempatan beliau di Korea Selatan diselubungi masalah undang-undang kerana tidak mengikut perintah dan terbabit dalam pergaduhan selepas mabuk.

Berdasarkan semakan dokumen di mahkamah mendapati King menghadapi dua dakwaan tuduhan pergaduhan di Korea Selatan, dan mengaku bersalah atas satu pertuduhan termasuk memusnahkan harta awam kerana merosakkan kereta polis semasa beliau mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap warga Korea.

King sepatutnya menghadapi lebih banyak tindakan disiplin selepas dihantar pulang ke AS.

King selesai menjalani tahanan tentera dan sedang dibawa oleh tentera AS ke lapangan terbang untuk kembali ke AS apabila beliau menghilangkan diri.

King didapati meninggalkan lapangan terbang dan menyertai lawatan pelancong ke kawasan sempadan dan menyeberangi sempadan walaupun terdapat usaha oleh pengawal Korea Selatan dan AS untuk menghalangnya. - REUTERS

Media Baharu