fb fb fb fb fb

Perjanjian senjata Rusia-Korea Utara langgar resolusi PBB

(Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu/ REUTERS)

WASHINGTON, 16 Ogos- Amerika Syarikat berkata bahawa Rusia akan melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika ia mencapai perjanjian senjata dengan Korea Utara, selepas pemimpin kedua-dua negara meminta kerjasama yang lebih erat.

“Sebarang jenis kerjasama keselamatan atau perjanjian senjata antara Korea Utara dan Rusia pasti akan melanggar beberapa siri resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC)," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel, kepada pemberita.

Patel menekankan bahawa Rusia bergantung kepada beberapa negara paling terpinggir di dunia, Korea Utara dan Iran, untuk menyokong perang pencerobohannya terhadap Ukraine.

"Maklumat kami menunjukkan bahawa Rusia sedang berusaha untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan DPRK," katanya, merujuk kepada negara itu menggunakan nama rasminya, Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

Pada Selasa Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un; kedua-duanya bercakap mengenai hubungan lebih erat bersempena Hari Pembebasan Kebangsaan Korea Utara.

Kenyataan itu susulan lawatan Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu ke Pyongyang. Kedua-dua negara itu mahu menjalinkan kerjasama lebih erat termasuk dalam sektor pertahanan.

Ia menjadikannya gabungan terbaru hubungan antara negara-negara bertentangan dengan Amerika Syarikat.

Moscow dan Pyongyang semakin terasing dari barat dan dikenakan sekatan oleh AS, sejak Kremlin mengerahkan tentera ke Ukraine dan memulakan permusuhan atau perang berskala besar tahun lalu.- AFP


(FOTO HIASAN/REUTERS)

Media Baharu