fb fb fb fb fb

65 maut dalam insiden tanah runtuh di Utara India, misi pencarian diteruskan

(Tanah runtuh berikutan hujan lebat di utara Himachal Pradesh, India/ REUTERS)

DEHRADUN (India), 16 Ogos - Pasukan penyelamat semalam mencari orang yang dikhuatiri hilang dalam banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang di India, termasuk 11 yang maut dalam keruntuhan sebuah kuil popular.

Hujan lebat yang berterusan telah menghanyutkan kenderaan, merobohkan bangunan dan memusnahkan jambatan di Himalaya.

Banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa dan menyebabkan kemusnahan yang meluas semasa musim tengkujuh yang berbahaya di India, tetapi pakar mengatakan perubahan iklim meningkatkan kekerapan berlakunya bencana itu.


(Sebagian pusat perguruan runtuh di sepanjang sungai Maldevta setelah hujan lebat di Dehradun, India/ AFP)

Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh di Himachal Pradesh sejak Ahad, dengan ribuan lagi terkandas selepas gangguan jalan raya, talian elektrik dan rangkaian komunikasi.

“Penderitaan mereka yang terjejas tidak boleh diganti dengan wang, tetapi kerajaan akan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada mereka dalam masa kesusahan ini,” kata Ketua Menteri negeri, Sukhvinder Singh Sukhu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sukhu berkata sebelum ini 20 yang lain dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan selepas tanah runtuh dan merayu kepada penduduk untuk tinggal di dalam rumah dan elak daripada mendekati sungai.

Imej dari kawasan yang dilanda teruk di Himachal Pradesh menunjukkan mayat ditarik dari timbunan tanah gelap yang telah menghancurkan bangunan dan memecahkan bumbung.

Sekurang-kurangnya 11 orang maut apabila tanah runtuh mencetuskan keruntuhan kuil popular untuk dewa Hindu Shiva di ibu negeri Shimla.

“Kerja menyelamat sedang dijalankan dan kami bimbang sekurang-kurangnya 10 orang masih terperangkap di bawah runtuhan,” kata pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah, Aditya Negi kepada AFP.

Sukhu berkata, bencana itu adalah yang paling teruk melanda Himachal Pradesh dalam tempoh 50 tahun lalu, sambil menambah bahawa pihak berkuasa negeri telah mengurangkan sambutan tahunan Hari Kemerdekaan Selasa, menandakan berakhirnya pemerintahan kolonial British, untuk menumpukan usaha menyelamat.

Lebih 300 pelancong telah diselamatkan daripada banjir, tambahnya.

Perdana Menteri Narendra Modi, bercakap dari Red Fort di New Delhi untuk ucapan Hari Kemerdekaan tahunannya, berkata bahawa bencana alam baru-baru ini telah menyebabkan "masalah yang tidak dapat dibayangkan" untuk keluarga di seluruh negara.

"Saya merakamkan rasa simpati terhadap mereka semua dan saya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri dan pusat akan bekerjasama," katanya kepada orang ramai.- AFP

Media Baharu