fb fb fb fb fb

Tenggara Australia alami gelombang panas, risiko kebakaran hutan meningkat

Foto Reuters

SYDNEY, 4 Januari – Tenggara Australia menghadapi gelombang panas yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Keadaan itu mendorong pihak berkuasa mengeluarkan larangan pembakaran di sebahagian besar negeri Victoria.

Pihak berkuasa di Victoria baru-baru ini terpaksa memadamkan kebakaran besar yang melanda Taman Negara Grampians, mengakibatkan kemusnahan rumah dan ladang.

Larangan pembakaran sepenuhnya dikenakan di dua daerah di barat Victoria, termasuk kawasan Wimmera, yang merangkumi lebih 180 km.

Bahaya kebakaran di kawasan tersebut dilabelkan sebagai "ekstrem", tahap bahaya tertinggi.

Menurut jabatan ramalan cuaca, suhu pada Sabtu dijangka meningkat sehingga 14 darjah Celsius melebihi purata di beberapa kawasan.

Melbourne, ibu negeri Victoria, diramal mencapai suhu 37°C, manakala di Lapangan Terbang Melbourne, suhu telah mencecah 32.8°C pada pukul 10:20 pagi waktu tempatan, melebihi enam darjah Celsius berbanding purata bulan Januari.

"Perubahan angin yang lebih signifikan yang mendorong gelombang panas di tenggara dijangka berlaku pada malam Ahad," kata Miriam Bradbury, pegawai Biro Meteorologi, kepada saluran Australian Broadcasting Corp.

Walaupun musim kebakaran kebelakangan ini lebih tenang, ia masih berisiko.

Kebakaran 2019-2020 yang dikenali sebagai "Black Summer" memusnahkan kawasan sebesar negara Turki dan meragut 33 nyawa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN