fb fb fb fb fb

Brazil catat tahun terpanas pada 2024

Foto Hiasan / AFP

RIO DE JANEIRO, 4 Januari - Tahun 2024 mencatatkan rekod sebagai tahun terpanas dalam sejarah Brazil, menurut laporan Institut Meteorologi Nasional yang dikeluarkan pada Jumaat.

Fenomena itu berlaku selepas negara Amerika Selatan itu mengalami kemarau serta banjir yang dikaitkan oleh pakar dengan isu pemanasan global.

Purata suhu bagi tahun 2024 ialah 25.02 darjah Celsius (77.04 Fahrenheit), iaitu 0.79 darjah lebih tinggi berbanding purata suhu bagi tempoh 1991 hingga 2020.

Angka tersebut melepasi rekod terdahulu yang dicatatkan pada 2023 dengan purata suhu 24.92 darjah Celsius.

Institut Meteorologi Nasional menyatakan bahawa "trend yang signifikan secara statistik ini... mungkin berpunca daripada perubahan iklim akibat kenaikan suhu global serta perubahan persekitaran tempatan."

Kajian terbaharu oleh Universiti Persekutuan Sao Paulo mendedahkan bahawa Brazil menghadapi peningkatan yang membimbangkan dalam kejadian bencana iklim antara tahun 2020 hingga 2023.

Purata tahunan bencana berkaitan iklim melonjak kepada 4,077 kejadian, hampir dua kali ganda berbanding purata dalam tempoh dua dekad sebelumnya.

Antara bencana tersebut termasuk kemarau, banjir, ribut ganas, serta suhu melampau.

Kajian turut menemui hubungan antara bencana-bencana ini dengan pemanasan suhu permukaan laut.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengesahkan bahawa 2024 dijangka menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan di dunia.

Selain Brazil, beberapa negara lain seperti China, India, Indonesia, Taiwan, dan Hong Kong turut melaporkan bahawa 2024 adalah tahun terpanas dalam rekod mereka.

Fenomena suhu ekstrem ini membangkitkan semula gesaan global untuk mempercepat tindakan terhadap perubahan iklim demi mengurangkan kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN