SEOUL, 4 Januari - Korea Selatan kini berhadapan dengan krisis politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila Presiden Yoon Suk Yeol menolak untuk ditahan oleh pihak berkuasa.
Situasi tegang itu tercetus susulan kegagalan perintah darurat tentera yang diisytiharkan oleh Yoon, hanya beberapa hari sebelum waran tangkap terhadapnya tamat tempoh.
Pada hari Jumaat, pasukan pengawal presiden dan tentera melindungi Yoon di kediaman rasminya di Seoul, memaksa pihak penyiasat membatalkan cubaan penahanan atas faktor keselamatan.
"Kami menganggarkan sekitar 200 anggota menghalang kami, tetapi jumlahnya mungkin lebih. Ia adalah situasi yang berbahaya," kata seorang pegawai penyiasat yang enggan dikenali.
Yoon menghadapi tuduhan pemberontakan, satu jenayah berat yang tidak tertakluk kepada imuniti presiden.
Jika didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara atau hukuman mati.
Jika waran dilaksanakan, Yoon akan menjadi presiden yang sedang berkhidmat pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditahan.
Sejak pemecatannya pada bulan lalu, Yoon kekal di kediaman rasminya dan enggan menghadiri sesi soal siasat sebanyak tiga kali.
Mahkamah Perlembagaan telah menetapkan 14 Januari sebagai tarikh perbicaraan rasmi untuk mendakwa dan memecat seseorang pegawai kerajaan yang akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Yoon.
Cubaan penahanan itu meninggalkan pihak penyiasat dalam keadaan tergantung, dengan waran tangkap dijadualkan tamat pada Isnin.
Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO) menyatakan kemungkinan untuk cubaan penahanan baharu sebelum waran tamat.
Sekiranya gagal, waran baharu perlu dipohon semula kepada mahkamah.
Peguam Yoon menolak cubaan penahanan ini sebagai "tidak sah dan tidak berasas" serta berjanji akan mengambil tindakan undang-undang.
Sementara itu, pakar undang-undang, Chae Jin-won dari Universiti Kyung Hee berkata "Mungkin sukar untuk melaksanakan penahanan sehingga Mahkamah Perlembagaan memutuskan usul pemecatan dan melucutkan gelaran presidennya."-AFP