LONDON, 4 Januari- Para penyelidik menemui ratusan tapak kaki dinosaur sejak zaman prasejarah di sebuah kuari di Oxfordshire, selatan England. Penemuan itu menunjukkan reptilia seperti pemangsa sembilan meter Megalosaurus bergerak di sepanjang laluan sangat besar.
Menurut penyelidik dari Universiti Oxford dan Birmingham penggalian di sebuah kuari menemui lima laluan luas, satu daripadanya berukuran lebih 150 meter panjang.
Sementara itu empat daripada trek berkenaan terhasil daripada spesies sauropod (dinosaur herbivor gergasi, berleher panjang), kemungkinan Cetiosaurus boleh mencecah panjang sehingga 18 meter menyerupai Diplodocus.
Manakala laluan kelima terhasil daripada spesies theropod (dinosaur karnivor) jenis Megalosaurus (mempunyai kaki tiga jari dengan kuku).
Penemuan tapak kaki dinosaur spesies karnivor dan herbivor berusia kira-kira 166 juta tahun itu menunjukkan laluan berkenaan pernah digunakan semasa zaman prasejarah.
Ia juga menimbulkan persoalan berkenaan interaksi kedua-dua spesies berkenaan dalam meneruskan kelangsungan hidup, kata para penyelidik.
Megalosaurus merupakan dinosaur pertama yang dinamakan secara saintifik dan diterangkan pada tahun 1824. Ia memulakan 200 tahun terakhir sains dinosaur dan kepentingan awam.
Ahli paleontologi vertebrata di Muzium Sejarah Semula Jadi Universiti Oxford, Emma Nicholls berkata; "Para saintis mengetahui dan mengkaji Megalosaurus lebih lama berbanding dinosaur lain. Penemuan terbaru ini membuktikan masih terdapat bukti baru tentang kewujudan dinasaur ini di luar sana yang masih belum ditemui."
Kesan tapak kaki haiwan prasejarah berkenaan ditemui ketika pekerja kuari Gary Johnson merasakan "bentuk luar biasa" ketika melakukan operasi penggalian di kawasan itu.
Menurut Unoversiti Oxford dalam satu kenyataan, lebih seratus penyelidik meneruskan penggalian pada Jun yang menemui kira-kira 200 tapak kaki.- Reuters