fb fb fb fb fb

Tempoh penahanan dilanjutkan, penyokong Suk Yeol serbu mahkamah

Foto REUTERS

SEOUL, 19 Januari – Penyokong Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, menyerbu Mahkamah daerah barat Seoul selepas seorang hakim memutuskan untuk melanjutkan tempoh penahanan pemimpin yang telah dipecat itu atas cubaan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.

Puluhan ribu orang berkumpul di luar mahkamah pada Sabtu sebagai tanda sokongan kepada Yoon, yang menjadi ketua negara pertama Korea Selatan yang ditahan semasa masih berkuasa, dalam satu serbuan awal pagi minggu ini.

Selepas mahkamah melanjutkan tempoh penahanannya sekitar pukul 3:00 pagi waktu tempatan, para penyokong Suk Yeol memecahkan tingkap dan pintu ketika mereka menyerbu masuk ke dalam bangunan tersebut.

Wartawan AFP menyaksikan ratusan anggota polis mengepung kawasan mahkamah dan menangkap puluhan orang yang terlibat dalam kejadian itu. Polis mengecam insiden tersebut sebagai satu kejadian ganas yang tidak dapat diterima.

Insiden itu merupakan episod terbaru dalam krisis politik yang semakin meruncing di Korea Selatan sejak 3 Disember lalu, apabila Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera dan menghantar tentera ke parlimen.

Cubaan Suk Yeol untuk menggantung pemerintahan awam hanya bertahan selama enam jam selepas ahli parlimen mencabar tentera dan mengundi untuk membatalkannya.

Mereka kemudian memecat Yoon dan menggantung tugasnya sebagai presiden.

Yoon berikrar untuk berjuang hingga ke akhirnya walaupun menghadapi keputusan Mahkamah Perlembagaan berhubung pemecatannya serta siasatan jenayah atas tuduhan pemberontakan yang menyebabkan beliau ditahan.

Mahkamah Seoul memaklumkan kepada AFP bahawa tempoh penahanan Yoon dilanjutkan selama 20 hari lagi kerana kebimbangan beliau mungkin memusnahkan bukti sekiranya dibebaskan.

Dalam mesej melalui peguamnya pada Jumaat, Yoon mengucapkan terima kasih kepada para penyokongnya termasuk penganut Kristian evangelis dan YouTuber sayap kanan atas "patriotisme mereka yang penuh semangat".

Para penyokong Yoon mendakwa bahawa beliau berhak mengisytiharkan undang-undang tentera kerana dakwaan penipuan pilihan raya dalam pilihan raya perundangan yang dimenangi pembangkang tahun lalu, walaupun tiada bukti dikemukakan.

Mereka sering mengibarkan bendera Amerika Syarikat dan menggunakan retorik "hentikan penipuan" yang sering dikaitkan dengan presiden terpilih AS, Donald Trump, yang penyokongnya pernah menyerbu Capitol Washington untuk mencabar kekalahannya dalam pilihan raya sebelum ini.

Selepas insiden di mahkamah Seoul, Ketua polis sementara, Lee Ho-young, menyatakan pihak berkuasa akan "menyiasat dengan teliti YouTuber sayap kanan jika mereka terlibat dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu,Peguam Suk Yeol, Seok Dong-hyeon, mengkritik keputusan mahkamah sambil menyeru para penyokong supaya tidak memburukkan lagi keadaan.

"Ini mungkin bukan apa yang diinginkan Presiden Yoon," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa keganasan boleh "membebankan" prosiding undang-undang Suk Yeol pada masa depan.

Peguam dan kolumnis politik Yoo Jung-hoon menyifatkan serangan ke atas mahkamah sebagai "tidak pernah berlaku" di Korea Selatan, dan mereka yang terlibat mungkin menghadapi hukuman penjara.

"Hakim dijangka mengekalkan presiden dalam tahanan memandangkan banyak bukti yang menyokong tuduhan pemberontakan," kata Yoo kepada AFP.

Suk Yeol kini kembali ke penjara selepas kehadirannya di mahkamah pada Sabtu. Pendakwa raya dijangka memfailkan dakwaan jenayah rasmi atas tuduhan pemberontakan, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati jika didapati bersalah.

Dalam pada itu, Suk Yeol tidak menghadiri siasatan di Mahkamah Perlembagaan, yang sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengesahkan pemecatannya.

Sekiranya mahkamah itu memutuskan menentangnya, Yoon akan secara rasmi kehilangan jawatan presiden, dan pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD