fb fb fb fb fb

TikTok tutup sementara operasi di Amerika Syarikat

Foto REUTERS

WASHINGTON, 19 Januari-TikTok telah berhenti berfungsi di Amerika Syarikat pada lewat malam Sabtu dan telah dikeluarkan daripada aplikasi Apple dan Google menjelang pelaksanaan undang-undang pada Ahad yang mengarahkan penutupan aplikasi yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika itu.

Presiden yang bakal dilantik, Donald Trump, berkata pada Sabtu bahawa beliau berkemungkinan besar akan memberi penangguhan 90 hari terhadap larangan tersebut selepas beliau memulakan tugas pada Isnin, sebuah janji yang dirujuk TikTok dalam notis kepada pengguna.

TikTok, yang dimiliki oleh syarikat China, ByteDance, menghantar mesej berkenaan kepada pengguna yang cuba mengakses aplikasi itu sekitar pukul 10:45 malam (Waktu Tempatan).

"Undang-undang yang melarang TikTok telah dikuatkuasakan di AS.

"Malangnya, ini bermakna anda tidak dapat menggunakan TikTok buat masa ini.

"Kami bernasib baik kerana Presiden Trump telah menyatakan bahawa beliau akan bekerjasama dengan kami untuk mencari penyelesaian bagi mengembalikan TikTok selepas beliau memulakan tugas.

Sila nantikan perkembangan selanjutnya", maklum mesej berkenaan.

Aplikasi lain yang dimiliki oleh ByteDance seperti CapCut dan Lemon8 juga dilaporkan tidak boleh diakses dan tidak terdapat diaplikasi AS sejak lewat Sabtu.

Trump berkata kepada NBC, Penangguhan 90 hari adalah sesuatu yang mungkin dilakukan kerana ia wajar.

"Jika saya membuat keputusan itu, saya mungkin akan mengumumkannya pada hari Isnin", katanya.

Terdahulu, TikTok telah memberi amaran pada Jumaat bahawa aplikasi itu akan dihentikan di AS pada Ahad melainkan pentadbiran Presiden Joe Biden memberikan jaminan kepada syarikat seperti Apple dan Google bahawa mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang apabila larangan itu berkuat kuasa.

Undang-undang yang diluluskan tahun lepas dan disokong oleh Mahkamah Agung mengarahkan TikTok memutuskan hubungan dengan syarikat induknya di China, ByteDance, atau menghentikan operasinya di AS untuk menangani kebimbangan mengenai ancaman kepada keselamatan negara.

Sementara itu, Kedutaan China di Washington menuduh AS menggunakan kuasa negara secara tidak adil untuk menyekat TikTok.

"China akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mempertahankan hak dan kepentingannya secara tegas," kata seorang jurucakap.

Ketidakpastian mengenai masa depan TikTok menyebabkan pengguna, kebanyakannya golongan muda, beralih ke alternatif seperti RedNote dari China.

Saham pesaing seperti Meta dan Snap juga meningkat kerana pelabur menjangkakan lonjakan pengguna dan pendapatan iklan.

"Saya tak sangka mereka benar-benar menghentikan TikTok.

Sekarang saya sedih dan merindui kawan-kawan yang saya kenal di sana. Harap semuanya kembali normal dalam beberapa hari," tulis @RavenclawJedi di X.

Firma pemasaran yang bergantung pada TikTok juga bergegas menyediakan rancangan kontingensi dalam menghadapi situasi yang dianggap kecemasan setelah ramai percaya penyelesaian akan dicapai.

Terdapat tanda-tanda bahawa TikTok mungkin kembali di bawah pentadbiran Trump, yang mengatakan beliau ingin mencari penyelesaian politik terhadap isu tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, dilaporkan akan menghadiri perasmian presiden AS dan perhimpunan bersama Trump pada Ahad.

Syarikat permulaan enjin carian AS, Perplexity AI, juga dilaporkan telah mengemukakan tawaran kepada ByteDance untuk bergabung dengan TikTok AS dan mencipta entiti baharu.

ByteDance, yang dimiliki sekitar 60% oleh pelabur institusi seperti BlackRock dan General Atlantic, mempunyai lebih daripada 7,000 kakitangan di AS.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD