DEVON, 18 Januari- Satu penemuan sangat jarang berlaku iaitu telur ayam berbentuk bulat sempurna telah ditemui di sebuah ladang pemprosesan telur, Fenton Farm Eggs di sini, baru-baru ini.
Telur ayam dianggap sebagai "satu dalam sejuta" itu dijangka akan dijual pada harga sehingga £200 (kira-kira RM1,100) dalam satu lelongan dijadualkan pada 18 Mac depan di Exeter.
Ali Greene, seorang pemproses telur ayam berusia 57 tahun sedang bekerja pada 17 Disember lalu apabila dia menyedari sebiji telur "berbeza" atas mesin penghantar.
Setelah pemeriksaan lanjut, Greene mendapati ia adalah satu-satunya telur ayam bulat yang pernah ditemui sepanjang tiga tahun dia berkhidmat di ladang tersebut.
Jelas Greene, ladang itu memproses sekitar 14 juta telur setahun dan dia sering menemui telur ayam dengan pelbagai bentuk pelik namun telur bulat sedemikian adalah pertama seumpamanya.
Greene yang juga sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Devon Rape Crisis memutuskan untuk menjual telur tersebut di lelongan bagi mengumpul dana untuk badan amal berkenaan.
"Saya tidak tahu daripada ayam mana telur ini berasal dan saya tidak pasti mengapa ayam boleh bertelur bulat. Namun yang lebih penting adalah Devon Rape Crisis dapat mengumpul dana," katanya.
Telur itu telah dibungkus dengan garam batu bagi memastikan ia kekal utuh sehingga lelongan berlangsung, menurut Greene. -Reuters