fb fb fb fb fb

Roket Starship 7 SpaceX meletup di angkasa selepas pelancaran

Penduduk di Kepulauan Turks dan Caicos menyaksikan serpihan jatuh melintasi langit selepas roket SpaceX Starship pecah di angkasa beberapa minit dilancarkan pada Khamis/ Reuters

AMERIKA SYARIKAT, 18 Januari- Roket Starship 7 milik SpaceX mengalami kegagalan teruk selepas pelancaran dari Texas pada Khamis apabila pesawat itu meletup di angkasa beberapa minit dilancarkan.

Serpihan roket itu dilapor jatuh di kawasan Pulau Turks dan Caicos di Lautan Atlantik.

Jurucakap SpaceX, Dan Huot memaklumkan komunikasi terputus kurang sembilan minit selepas penerbangan tanpa kru itu dilancarkan dan pihak syarikat mengesahkan kapal angkasa tersebut hilang.

"Kami kehilangan semua komunikasi dengan kapal -- itu menunjukkan terdapat anomali (masalah) pada peringkat atas roket," ujarnya.

Pemilik SpaceX, Elon Musk dalam perkongsian di platform X berkata, "Kejayaan tidak pasti, tetapi hiburan dijamin!"

Huot menambah letupan itu kemungkinan besar berpunca kebocoran oksigen atau bahan api. Syarikat tersebut juga melaporkan enjin roket kelihatan terhenti satu demi satu semasa penerbangan.

SpaceX menjelaskan dalam kenyataan "Starship mengalami kegagalan struktur tidak dijangka semasa fasa pelancaran ke orbit" dan pasukan penyelidikan akan terus meneliti data untuk memahami punca utama kegagalan tersebut.

SpaceX menganggap kegagalan itu sebagai peluang pembelajaran untuk meningkatkan kebolehpercayaan Starship pada masa depan. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA