HANOI, 8 September- Jumlah kematian yang diakibatkan oleh Taufan Yagi kini meningkat kepada sembilan manakala 186 lagi cedera, menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila taufan turut mencetuskan tanah runtuh.
Empat sekeluarga maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan Hoa Binh di utara Vietnam awal pagi Ahad.
Kejadian berlaku sekitar tengah malam, selepas beberapa jam hujan lebat yang dibawa oleh Yagi, apabila lereng bukit memberi laluan dan runtuh ke sebuah rumah, kata VNExpress, memetik pihak berkuasa tempatan.
Pemilik rumah berjaya melarikan diri tetapi isteri, anak perempuan dan dua cucunya tertimbus, mayat mereka ditemukan tidak lama kemudian.
Kematian akibat taufan itu, ribut paling kuat melanda wilayah berkenaan dalam tempoh 30 tahun lepas, termasuk tiga dari wilayah pesisir pantai Quang Ninh, satu dari wilayah utara Hai Duong, satu dari bandar pelabuhan Hai Phong dan empat dari wilayah utara Hoa Binh.
Pecahan mangsa yang cederta, 157 adalah dari Quang Ninh, 13 dari Hai Phong, 10 dari Hanoi, lima dari Hai Duong, dan seorang dari Hoa Binh.
Setakat pagi Ahad, 25 kapal tanpa kru, kebanyakannya bot nelayan, di Quang Ninh karam akibat ombak besar dan angin kencang.
Banyak kawasan di Quang Ninh, Hai Phong, Thai Binh, Hai Duong, dan Hanoi mengalami gangguan bekalan elektrik.
Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar berkata Taufan Yagi turut merobek bumbung bangunan, menenggelamkan bot dan mencetuskan tanah runtuh serta memusnahkan hampir 3,300 rumah, 121,500 hektar tanaman padi dan tanaman lain, lebih 5,000 hektar pokok buah-buahan, serta lebih 1,000 sangkar akuakultur di wilayah utara.
Menurut kementerian itu, taufan Yagi mendarat di utara Vietnam pada petang Sabtu, membunuh empat orang dan mencederakan 78 yang lain.-AFP