fb fb fb fb fb

Narin akhirnya ditemukan selepas 19 hari hilang, namun sudah tidak bernyawa

Kehilangan Narin Guran, kanak-kanak berusia lapan tahun mencetuskan pencarian besar-besaran di Turkiye sehinggalah penemuan mayatnya pada Ahad

ANKARA, 8 September- Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang hilang di Turkiye selama 19 hari telah ditemui selepas pencarian besar-besaran, kata menteri dalam negeri pada Ahad.

Mayat Narin Guran ditemui di sungai di wilayah tenggara Diyarbakir, sekitar satu kilometer dari kampung tempat dia tinggal bersama keluarganya, menurut saluran berita Turkiye NTV.

"Malangnya, Narin, yang hilang di perkampungan Tavsantepe... telah ditemui namun sudah tidak bernyawa," tulis menteri dalam negeri Turki Ali Yerlikaya di X, sebelum ini di Twitter.

Kanak-kanak itu hilang pada 21 Ogos, mencetuskan usaha mencari yang besar di Turkiye, dengan beberapa tokoh terkenal menyertai kempen media sosial yang dipanggil "Find Narin".

Bapa saudaranya ditahan minggu lalu kerana disyaki membunuh dan "mengurung" kanak-kanak tersebut.

Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc berkata pada X bahawa "mereka yang bertanggungjawab atas kematian Narin akan dibawa ke muka pengadilan".-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE