HONG KONG, 20 Julai- Pihak berkuasa Hong Kong mengeluarkan amaran taufan tahap tertinggi (T10) pada pagi Ahad selepas taufan Wipha membadai wilayah itu.
Pengumuman itu sekali gus memaksa pembatalan kelas dan penerbangan dalam jumlah besar.
Menurut Jabatan Kaji Cuaca bandar itu, taufan Wipha dikesan berada kira-kira 60 kilometer ke tenggara Hong Kong, setakat pukul 10.00 pagi waktu tempatan.
Gelombang besar turut dilihat melanda kawasan pantai timur Pulau Hong Kong.
Amaran T10 yang dikeluarkan menyatakan angin berkelajuan purata 118 kilometer sejam atau lebih, dijangka melanda dan membawa ancaman serius kepada keselamatan awam.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada orang ramai agar berwaspada terhadap angin kencang yang boleh menyebabkan kerosakan besar.
Lebih 200 penduduk dilaporkan telah mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara yang dikendalikan kerajaan.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, kira-kira 500 penerbangan telah dibatalkan manakala 400 lagi dijadualkan berlepas atau mendarat kemudian hari.
Seorang lelaki dilaporkan mendapatkan rawatan kecemasan di hospital awam dan lebih puluhan aduan pokok tumbang telah diterima.
Semua sekolah harian dan pusat penjagaan kanak-kanak ditutup pada Ahad manakala perkhidmatan kereta api tempatan terhad kepada laluan tertutup sahaja.
Taufan Wipha turut membawa hujan lebat dan banjir ke Filipina, dengan dua orang dilaporkan hilang, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan negara itu.
Hong Kong kali terakhir mengeluarkan isyarat T10 adalah pada tahun 2023 ketika taufan Saola. -AFP