fb fb fb fb fb

Letusan gunung berapi: 4,000 penduduk Grindavik dipindahkan

Foto VIORY

ICELAND, 20 Julai - Satu lagi letusan gunung berapi dilaporkan berlaku di barat daya Iceland pada Rabu lalu, memaksa kira-kira 4,000 penduduk di bandar Grindavik dipindahkan dari kediaman masing-masing.

Letusan terbaharu itu berlaku sekitar pukul 4.00 pagi waktu tempatan, selepas lebih 130 gegaran kecil direkodkan di kawasan Svartsengi.

Kejadian tersebut turut mencetuskan aliran lava dari Gunung Berapi Sundhnukur, yang meletus buat kali ke-12 sejak tahun 2021.

Rakaman yang diperoleh pada Jumaat memaparkan lava mengalir menuruni lereng gunung, manakala penduduk dilihat merentasi kawasan tanah yang telah hangus diliputi lava.

Pihak berkuasa Iceland bertindak segera memindahkan lebih 100 individu, termasuk pelancong di pusat peranginan geoterma Blue Lagoon serta pengunjung yang berkhemah di kawasan sekitar.

Beberapa laluan utama ke kawasan berisiko turut ditutup sebagai langkah keselamatan.

Menurut Pejabat Meteorologi Iceland, satu rekahan gunung berapi sepanjang kira-kira 1,000 meter telah terbentuk berhampiran Grindavik; menyebabkan kerosakan pada penghadang perlindungan yang dibina untuk melindungi bandar tersebut.

Untuk rekod, Grindavik yang terletak di barat daya Reykjavik berdepan ancaman gunung berapi secara berterusan sejak November 2023, selepas lebih 800 tahun dalam keadaan tidak aktif. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM