GAZA, 20 Julai - Sekurang-kurangnya 32 maut manakala lebih 100 lagi cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan orang awam berhampiran pusat agihan bantuan di utara Rafah, selatan Gaza, pada Sabtu.
Kesemua mangsa dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis.
Rakaman menunjukkan orang ramai mengusung mangsa yang cedera ke koridor hospital yang sesak.
Rata-rata ahli keluarga dilihat menangis dan meratapi insan tersayang sambil mengerjakan solat jenazah.
“Anak-anak kami keluar mencari bantuan untuk kami makan dan minum, tetapi mereka pulang dalam kafan putih atau hitam. Inilah takdir kami di Gaza,” kata waris mangsa, Iham Mahmoud Abu Shawaish.
“Kami benar-benar kebuluran. Keadaan Gaza amat parah. Hari ini saya kebumikan Hisham,” luah seorang bapa yang kehilangan anak, Munther Khader.
Serangan berterusan oleh Israel terus mencetuskan kekacauan dan keganasan terhadap rakyat Palestin, terutama di pusat agihan bantuan berhampiran sempadan Rafah sejak ia mula beroperasi.
Terdapat laporan mengenai kematian orang awam dan kecederaan akibat rempuhan semasa agihan bantuan dijalankan. - VIORY