HANOI, 20 Julai- Vietnam merancang untuk melarang penggunaan motosikal berkuasa petrol di pusat bandar Hanoi mulai Julai tahun depan, sebagai langkah untuk mengurangkan pencemaran udara.
Namun, usaha itu dijangka akan memberikan kesan kepada kira-kira 600,000 penduduk yang menggunakan motosikal setiap hari sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk berpendapatan rendah.
Suri rumah Dang Thuy Hanh, 52 tahun melahirkan rasa terkejut apabila diminta menggantikan empat motosikal keluarganya dengan versi elektrik, yang dianggarkan menelan kos sekitar RM14,600.
Hanh mempersoalkan keperluan rakyat menanggung beban peralihan hijau sebelum kemudahan seperti stesen pengecasan disediakan sepenuhnya.
Larangan tersebut akan dikuatkuasakan di kawasan seluas 31 kilometer persegi, sebelum diperluas ke seluruh bandar dalam tempoh lima tahun.
Kerajaan bercadang menawarkan subsidi pembelian motosikal elektrik sebanyak 3 juta dong (RM550) serta meningkatkan perkhidmatan bas awam.
Menurut laporan kerajaan, lebih separuh daripada pencemaran udara di Hanoi berpunca daripada kenderaan bermotor.
Namun, Bank Dunia pula menganggarkan hanya 30 peratus daripadanya berpunca daripada kenderaan, manakala selebihnya datang daripada kilang dan pembakaran sisa.
Bandar seperti Paris, Barcelona dan Amsterdam telah melaksanakan larangan terhadap enjin pembakaran dalaman dan bandar utama Vietnam lain termasuk Ho Chi Minh turut merancang peralihan berperingkat.
Dengan hampir tujuh juta motosikal di bandar berpenduduk sembilan juta itu, Hanoi sering disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara di Vietnam menyebabkan lebih 70,000 kematian setiap tahun. -AFP