BRAZIL, 20 Julai - Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas semua eksport dari Brazil bermula 1 Ogos ini akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pengeksport Brazil, malah kepada AS sendiri.
Presiden Majlis Pengeksport Kopi Brazil, Marcio Ferreira menjelaskan bahawa Brazil merupakan pengeluar kopi terbesar dunia, manakala AS ialah pengguna kopi terbesar.
Katanya, dasar tarif 50 peratus yang dikenakan AS terhadap produk Brazil akan memberi kesan negatif kepada pengguna di AS dan juga pengeluar kopi Brazil.
"Dasar tarif ini akan memberi kesan besar kepada pengeluar kopi Brazil. Terdapat lebih 300,000 penanam kopi di Brazil, dan 75 peratus daripada mereka ialah pekebun kecil.
"Dasar ini akan menjejaskan ribuan keluarga," katanya dalam wawancara bersama China Media Group pada Rabu.
Ferreira turut menegaskan bahawa Brazil dan AS telah menjalin hubungan perdagangan selama lebih satu abad, dan hubungan itu terbukti menguntungkan pihak AS.
Beliau menyifatkan tarif tersebut sebagai satu pertunjukan politik dan menekankan keperluan kedua-dua negara untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.
"Jika dasar tarif ini tidak diubah, Brazil sememangnya akan berdepan situasi yang mencabar. Mentaliti tarif seperti ini bertentangan dengan arus globalisasi. Kita perlu mencari penyelesaian melalui dialog," katanya lagi.
Presiden AS, Donald Trump dalam sepucuk surat kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada 9 Julai lalu menyatakan bahawa tarif sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan Brazil. -REUTERS