fb fb fb fb fb

CEO Astronomer letak jawatan selepas 'kantoi' curang

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi Astronomer Inc., Andy Byron letak jawatan

NEW YORK, 20 Julai – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi Astronomer Inc., Andy Byron, meletakkan jawatan selepas tular rakaman video yang mesra berpelukan dengan seorang wanita bukan isterinya.

Perkara itu dimaklumkan syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan bertulis di profil Linkedln semalam.

Astronomer menegaskan bahawa pihak pengurusan syarikat sepatutnya menjadi contoh dalam soal kelakuan dan akauntabiliti.

“Pemimpin kami diharapkan menjadi teladan dalam aspek kelakuan dan akauntabiliti, namun baru-baru ini standard itu tidak dipenuhi,” menurut kenyataan tersebut.

Lembaga Pengarah Astronomer berkata telah menerima surat peletakan jawatan Byron selepas beliau digantung tugas pada Jumaat.

Astronomer melantik Ketua Pegawai Produk (CPO) Pete DeJoy sebagai CEO interim sementara mendapatkan pengganti baharu.

Video mesra jadi tular

Byron dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Astronomer, Kristin Cabot, dirakam melalui paparan skrin 'kiss cam' ketika kedua-duanya berpelukan mesra pada konsert Coldplay di Massachusetts, Amerika Syarikat, Rabu lalu.

Byron dilihat pantas bersembunyi manakala Cabot menutup wajahnya dengan tangan sambil berpusing ke belakang.

Insiden itu mencetuskan reaksi spontan penyanyi utama Coldplay, Chris Martin, yang berseloroh:

“Sama ada mereka sedang menjalinkan hubungan sulit atau mereka berdua sangat pemalu.”

Jurucakap syarikat itu berkata, bahawa hanya pasangan itu yang kelibat mereka dirakam dalam konsert berkenaan.

Bagaimanapun, pihak syarikat enggan mengulas lanjut mengenai status semasa Cabot.

Rakaman tersebut tular selepas pengguna media sosial membongkar identiti kedua-duanya melalui profil peribadi sebelum disahkan syarikat berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN