(Kelajuan angin akan mencecah 160 kilometer sejam (100 batu sejam), menyamai
Taufan Xangsane yang melanda Danang pada 2006 sehingga mengorbankan 76 orang/AFP)
VIETNAM, 27 September-Lebih 200,000 orang ditempatkan di pusat pelindungan ketika Taufan Noru mula membadai pantai tengahnya, dengan ramalan ribut terburuk dilaporkan bakal melanda negara itu sejak 2006
Lapangan terbang di Vietnam ditutup, termasuk sekolah dan pejabat di beberapa wilayah meliputi bandar Danang.
Penduduk di kawasan sekitar dilaporkan bergegas mencari perlindungan sebelum ketibaan taufan yang dijangkakan melanda pada Rabu.
Selepas melanda Filipina awal minggu ini, yang mengorbankan enam orang, Noru diramalkan membadai Vietnam sebelum 11 pagi (0400 GMT) sebelum dijangka reda dan bakal bergerak menuju ke kawasan pedalaman.
Pihak berkuasa kawalan banjir dan ribut Vietnam berkata kelajuan angin akan mencecah 160 kilometer sejam (100 batu sejam), menyamai Taufan Xangsane yang melanda Danang pada 2006 sehingga mengorbankan 76 orang.
Pihak berkuasa berkata mereka telah memindahkan hampir 260,000 orang dari rumah mereka, termasuk di bandar pelancongan popular Hoi An, di mana penduduk di bawa ke sebuah sekolah rendah.
"Saya mahu pergi. Rumah saya tidak begitu kukuh. Saya khuatir bumbungnya mungkin diterbangkan apabila taufan melanda," kata Huynh Mua kepada AFP, sambil memegang beg plastik berisi pakaian, selimut dan beberapa paket mi segera.
Atap bagi kira-kira 300 rumah di wilayah pesisir pantai Quang Tri diterbangkan lewat Selasa apabila angin kencang mula melanda Di Hue menyebabkan kejadian pokok tumbang ke tanah.
Di Danang, bandar ketiga terbesar di Vietnam, semua kedai dan hotel ditutup, manakala penduduk dilarang keluar di jalanan.
(Selepas melanda Filipina awal minggu ini, yang mengorbankan enam orang, Noru diramalkan membadai Vietnam
sebelum 11 pagi (0400 GMT) sebelum dijangka reda dan bakal bergerakj menuju ke kawasan pedalaman/AFP)
Menurut media kerajaan, kementerian pertahanan telah menggerakkan sekitar 40,000 tentera dan 200,000 anggota keselamatan dilengkapi kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan untuk operasi menyelamat dan bantuan.
Menurut data dari Pusat Amaran Taufan Bersama, yang terletak di Hawaii, Noru akan menjadi taufan besar keenam yang melanda Vietnam sejak 1945.
Noru melanda pulau Luzon Filipina pada Ahad dan Isnin, menumbangkan pokok, memadamkan bekalan elektrik dan mengakibatkan banjir.
Lima anggota penyelamat maut selepas dihantar membantu penduduk terjejas banjir, manakala seorang lagi maut akibat tanah runtuh.
Pegawai menganggarkan kerugian hasil tanaman membabitkan kira-kira 2.4 juta pesos.-AFP