fb fb fb fb fb

PM Singapura hadir pengebumian negara Shinzo Abe

(Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hadir memberi penghormatan pada
 Pengebumian Negara bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe/AFP)

SINGAPURA, 27 September- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Selasa menghadiri Pengebumian Negara bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe di Tokyo, Jepun.

Menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu, Lee ditemani isterinya Ho Ching.

"Mereka memberi penghormatan kepada Abe dan mengucapkan takziah kepada balu mendiang, Akie Abe serta Perdana Menteri Jepun Kishida Fumio," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Semasa lawatan itu, MFA berkata Lee mengadakan pertemuan dengan Kishida.

“Ini merupakan pertemuan ketiga Perdana Menteri Lee dan Perdana Menteri Kishida dalam tempoh lima bulan,” kata MFA.

Perdana Menteri menegaskan semula hubungan erat yang sudah lama terjalin antara Singapura dan Jepun, dan membincangkan kerjasama sedia ada dalam bidang pendigitalan, kemampanan, tenaga dan perdagangan pelbagai hala.

(Lee Hsien Loong pada Selasa menghadiri Pengebumian Negara bekas perdana menteri
Jepun Shinzo Abe di Tokyo ditemani isterinya Ho Ching/AFP)


Mereka juga bersetuju untuk meluaskan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama. Di samping itu, kedua-dua perdana menteri mengadakan perbincangan yang bermanfaat mengenai perkembangan serantau dan global, kata kementerian itu.

Lee dijangka pulang ke Singapura petang ini, tambah kenyataan itu.

Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, dibunuh pada 8 Julai ketika menyampaikan ucapan kempen pilihan raya di barat bandar Nara.-BERNAMA

 

Media Baharu