fb fb fb fb fb

Taufan Melissa landa Jamaica, taufan paling kuat pernah direkodkan

Beberapa kawasan di Jamaica masih dinaiki air /AFP

KINGSTON, 29 Oktober- Taufan Melissa membadai di Jamaica yang membawa angin kencang berkelajuan 300-kilometer sejam dan hujan lebat sebelum bergerak menuju ke Cuba.

Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness telah mengisytiharkan seluruh pulau itu sebagai kawasan bencana.

Pihak berkuasa juga telah mengarahkan penduduk setempat agar berlindung berikutan berisiko berlakunya banjir dan tanah runtuh, biarpun taufan berkenaan telah meninggalkan kawasan tersebut.

Angka korban serta tahap kemusnahan masih dalam siasatan.

Menteri Kerajaan, Desmond McKenzie pula berkata beberapa hospital telah rosak, termasuk di daerah barat daya Saint Elizabeth yang tenggelam sepenuhnya.

“Kerosakan di Saint Elizabeth amat besar berdasarkan pemerhatian kami,” katanya dalam satu sidang media.

“Saint Elizabeth ialah kawasan pengeluar utama hasil pertanian negara, dan kini ia lumpuh sepenuhnya. Seluruh Jamaica merasai kesan dahsyat Melissa.” tambahnya.

Taufan ini disifatkan sebagai yang paling teruk pernah melanda Jamaica, dengan kelajuan angin melebihi kebanyakan taufan dahsyat dalam sejarah moden, termasuk Taufan Katrina pada tahun 2005 yang memusnahkan bandar New Orleans di Amerika Syarikat.

Melissa mengambil masa beberapa jam untuk melintasi Jamaica, menyebabkan kelajuannya menurun menjelang petang Selasa kepada Kategori 3 daripada Kategori 5.

Sebelum Melissa melanda Jamaica, tujuh kematian telah dilaporkan dengan tiga di Jamaica, tiga di Haiti dan satu di Republik Dominican, akibat cuaca yang tidak menentu itu.

Taufan berkenaan turut merosakkan infrastruktur awam termasuk hospital. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH