fb fb fb fb fb

Pertemuan Trump, Jinping tentukan hala tuju perang perdagangan AS-China

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump /AFP

KOREA SELATAN, 29 Oktober- Pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan Presiden China, Xi Jinping esok, dijangka mampu menghentikan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu yang telah menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa dan menggugat kestabilan ekonomi global.

Kedua-dua pihak, Beijing dan Washington telah mengesahkan bahawa satu rangka kerja awal telah dipersetujui, namun masih belum dimuktamadkan.

Pertemuan kedua-dua pemimpin di  luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di bandar Gyeongju, bakal memuktamadkan butiran perjanjian tersebut.

Menurut penganalisis di International Crisis Group, William Yang, telah wujud ketidakselarasan dalam jangkaan kedua-dua pihak.

Katanya, Amerika Syarikat berhasrat mencapai apa jua bentuk perjanjian perdagangan yang diisytiharkan Trump sebagai kemenangan, manakala China pula lebih menumpukan kepada usaha membina kepercayaan bersama, mengurus perbezaan sedia ada, dan menstabilkan hubungan perdagangan dua hala.

Lawatan dua hari Trump ke Korea Selatan merupakan hentian ketiganya dalam siri lawatan jelajah Asia beliau.

Presiden AS itu dijadual bertemu Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, di Gyeongju, hari ini.

Ia merupakan pertemuan kedua mereka selepas perbincangan di Washington dua bulan lalu.

Isu perdagangan dijangka mendominasi pertemuan tersebut memandangkan kedua-dua pihak masih belum mencapai persetujuan berhubung perjanjian ekonomi utama. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH