ISLAMABAD, 29 Oktober- Rundingan gencatan senjata antara Pakistan degan Afghanistan gagal mencapai penyelesaian.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Maklumat Pakistan, Attaullah Tarar di X.
"Malangnya, pihak Afghanistan tidak memberi sebarang jaminan, terus menyimpang daripada isu teras dan menggunakan permainan menyalahkan, pemalingan perhatian serta helah," katanya.
"Dialog itu gagal membawa sebarang penyelesaian yang boleh dilaksanakan." tambah beliau.
Beliau turut memberi amaran bahawa negaranya perlu mengambil langkah sepatutnya demi melindungi rakyatnya.
Perbincangan di Istanbul itu bertujuan untuk mengukuhkan keamanan susulan pertempuran sempadan terburuk antara jiran Asia Selatan itu yang tercetus selepas letupan di Kabul pada 9 Oktober.
Hubungan antara bekas sekutu itu menjadi tegang dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan tuduhan Islamabad bahawa Afghanistan menjadi tempat perlindungan kepada kumpulan pengganas yang melancarkan serangan di Pakistan.
Selepas gencatan senjata 48 jam tamat, satu lagi gencatan tercapai pada 19 Oktober susulan perbincangan di Doha.
Tarar berkata Pakistan telah berunding dengan Afghanistan dalam semangat perdamaian, namun menuduh Kabul memberi sokongan kepada pengganas anti-Pakistan.
"Kami akan terus mengambil segala langkah yang mungkin dan perlu untuk melindungi rakyat kami daripada ancaman keganasan," kata Tarar.
Tiada kenyataan segera diterima daripada pihak Afghanistan.