fb fb fb fb fb

Taufan Ilsa landa Australia, paling kuat direkodkan

(Taufan Ilsa/Foto Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan)

SYDNEY, 14 April- Taufan kuat membadai barat laut Australia yang membawa angin paling kencang yang pernah direkodkan negara itu.

Taufan Ilsa yang meningkatkan kekuatannya kepada taufan kategori lima membadai kawasan berhampiran bandar Pardoo yang kurang penduduk.

Menurut Biro Meteorologi, Ilsa membawa kekuatan angin 218 kilometer sejam yang berterusan selama 10 minit.

Rekod sebelum ini ialah 194 kilometer sejam, yang dicatatkan oleh Taufan George pada 2007.

Bagaimanapun, bandar dan pekan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi terselamat daripada taufan Ilsa.

Ilsa kemudiannya menurunkan kekuatanya kepada taufan kategori tiga dengan membawa kekuatan angin sehingga 165 kilometer sejam.


(Foto Biro Meteorologi)

Sementara itu, pemilik Pardoo Roadhouse, sebuah stesen minyak kecil dan taman karavan, berkata di media sosial bahawa perniagaan mereka kelihatan telah "mengalami kerosakan besar".

"Kami tidak menerima sebarang panggilan untuk mendapatkan bantuan. Nampaknya kawasan berpenduduk lebih besar telah terlepas daripada kebanyakan kerosakan," kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Peter Sutton kepada penyiar nasional ABC.

Penyelidik Australia telah berulang kali memberi amaran bahawa perubahan iklim meningkatkan risiko bencana alam seperti kebakaran hutan, banjir dan taufan.

Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan mengeluarkan amaran baharu "amaran merah" ketika ribut ke pedalaman pada hari Jumaat dan mengarahkan orang ramai untuk kekal di dalam rumah sehingga keadaan reda.

"Terdapat ancaman kepada nyawa dan rumah," kata jabatan itu.

"Pantai barat laut Australia Barat adalah "wilayah yang paling terdedah kepada siklon" di negara itu", menurut Biro Meteorologi.

Rantau ini mempunyai simpanan bijih besi, tembaga dan emas yang besar dan merupakan pusat kepada beberapa operasi perlombongan terbesar di Australia.

Walaupun kebanyakan lombong dijangka tidak terjejas, beberapa buah lombong, termasuk lombong emas Newcrest di Telfer telah menamatkan operasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Port Hedland, sebuah hab perkapalan bijih besi, ditutup awal minggu ini ketika taufan itu semakin kencang di Lautan Hindi.

ANZ Bank, salah satu institusi kewangan terbesar di Australia, berkata situasi tersebut boleh menjejaskan bekalan bijih besi global, bahan utama dalam keluli.-AFP

Media Baharu