fb fb fb fb fb

PBB beri amaran lonjakan migran guna laluan jurang Darien

(Foto AFP)

PANAMA, 14 April- Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai lonjakan jumlah migran yang melintasi jurang Darien berbahaya yang terletak antara Panama dengan Colombia.

Amaran itu dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).

Dalam satu kenyataan, agensi berkenaan memaklumkan lebih 100,000 migran melintasi laluan berkenaan tahun ini.

Angka tersebut adalah enam kali ganda berbanding 250,000 orang yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Majoriti pendatang adalah dari Venezuela, Haiti, Ecuador, China, India, Cameroon dan Somalia.

(Sekumpulan pendatang pelbagai kewarganegaraan dihalang
di sempadan oleh polis Peru di Tacna, Peru, pada 13 April 2023/AFP)

"Panama sedang menghadapi salah satu krisis pergerakan dari pelbagai tempat yang paling mencabar dalam dekad yang lalu, sebagai sebahagian daripada perpindahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh benua Amerika," agensi itu memberi amaran.

Kawasan hutan Darien menjadi pintu masuk bagi migran yang cuba memasuki Amerika Syarikat, walaupun terpaksa berdepan bahaya, arus sungai yang deras serta ancaman hidupan liar dan kumpulan penjenayah.

Minggu ini, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS Alejandro Mayorkas bertemu dengan Menteri Luar Panama dan Colombia di Panama bagi mencari penyelesaian krisis penghijrahan tersebut.-AFP

Media Baharu