fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar ICBM model baharu, Hwasong-18

(Ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua bahan api pepejal (ICBM)
Hwasong-18 di lokasi yang dirahsiakan/REUTERS)

SEOUL, 14 April- Korea Utara menyatakan telah menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bahan api pepejal baharu, Hwasong-18.

Media kerajaan melaporkan ia bertujuan untuk "mempromosikan secara radikal" keupayaan serangan balas nuklear negara itu.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membimbing ujian tersebut dan memberi amaran bahawa ia akan membuatkan musuh "mengalami krisis keselamatan yang lebih jelas, dan sentiasa menimbulkan rasa tidak senang dan seram melampau.

Korea Utara telah mengkritik latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat-Korea Selatan baru-baru ini sebagai ketegangan yang semakin meningkat, dan telah meningkatkan ujian senjata dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata Korea Utara masih membangunkan senjata tersebut, dan ia memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk menguasai teknologi itu, menunjukkan bahawa Pyongyang mungkin menjalankan lebih banyak ujian.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menyiarkan foto Kim yang menonton pelancaran itu, ditemani ahli keluarganya dan peluru berpandu yang diliputi jaring penyamaran pada pelancar mudah alih.


(Ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua bahan api pepejal (ICBM)
Hwasong-18 di lokasi yang dirahsiakan/REUTERS)

"Pembangunan ICBM jenis baharu, Hwasongpho-18, akan memperbaharui secara meluas komponen pencegahan yang strategik milik Korea Utara, selain mempromosikan secara radikal mengenai keberkesanan serangan balas nuklear dan membawa perubahan dalam kesesuaian strategi pertahanan ketenteraan" lapor KCNA.

"Pho" bermaksud "artileri" dalam bahasa Korea.

Penganalisis berkata ia adalah penggunaan pepejal pertama dalam peluru berpandu balistik jarak pertengahan atau antara benua.

Membangunkan ICBM bahan api pepejal telah lama dilihat sebagai matlamat utama bagi Korea Utara, kerana ia boleh membantu melancarkan peluru berpandu dengan lebih pantas semasa pertempuran

Kebanyakan peluru berpandu balistik terbesar di negara itu menggunakan bahan api cecair, yang memerlukannya dimuatkan dengan bahan pelancar di tapak pelancarannya dan ia satu proses yang memakan masa dan berbahaya.-REUTERS

Media Baharu